SHAH ALAM 10 Julai - Tokoh-tokoh kartunis veteran negara
menasihatkan para seniman dan kartunis tidak mencampuradukkan
perjuangan politik dalam karya kerana dibimbangi memberi mesej negatif
kepada pembaca.
Jaafar Taib yang juga salah seorang pelopor majalah Gila-Gila
berkata, kartun sepatutnya dijadikan wadah ilmu bukannya digunakan
untuk mengutuk pemimpin.
“Kartunis sepatutnya berkarya untuk menyampaikan perkara-perkara
yang positif. Bila ia digunakan kepada perkara negatif seperti
menghina kerajaan dan pemimpin, ia ditakuti akan mengelirukan pemikiran
pembaca terutamanya kanak-kanak," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis makan malam bersama penerima
Anugerah Khas Penggiat Kartun dan Penganjur Program Pameran Kartun dan
Animasi 1Malaysia di sini malam tadi.
Majlis anjuran Konsortium Cartoonist At Work dan Kelab Putera
1Malaysia itu memberikan anugerah kepada 10 tokoh kartunis antaranya
Datuk Dr. Mohd. Nor Khalid (Datuk Lat); Hassan Abd. Muthalib; Zainal
Buang Hussin; Kamn Ismail; Prof. Dr. Muliyadi Mahamood; Tan Sri Lim Kok
Wing; Reggie Lee; Margaret Chelatora dan Abdul Jamil Ahmad.
Jaafar mengulas kelantangan kartunis Zunar atau nama sebenarnya
Zulkiflee Anwar Ulhaque dalam penghasilan karya yang mengutuk kerajaan
serta tindakannya menolak anugerah yang disampaikan Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak pada Program Pameran Kartun dan Animasi
1Malaysia di Pasar Seni, Kuala Lumpur, 24 Jun lalu.
Sementara itu, pencetus revolusi kartun, Mior Sariman Mior Hassan
atau lebih popular dengan nama Mishar berkata, golongan kartunis tidak
sewajarnya mencemarkan industri tersebut dengan penghasilan karya yang
menyinggung orang lain meskipun mereka bebas memilih parti politik
masing-masing.
“Saya faham perjuangan politik Zunar, namun menggunakan kartun
sebagai platform menyinggung hati orang lain terutamanya pemimpin
adalah tidak elok.
"Lebih baik hasilkan karya yang boleh menjadi pemangkin kepada kemajuan negara," katanya. - UTUSAN
/hwa: utusan.com.my | 10/7/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan