8 Julai 2012

NGO Melaka kecam sikap biadab lima ADUN DAP

MELAKA 6 Julai - Pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini mengecam tindakan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada DAP yang sengaja menimbulkan kekecohan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, kelmarin.
Mereka menyifatkan tindakan wakil rakyat terbabit sebagai biadab dan tidak menghormati Dewan apabila turut membawa masuk kain pemidang ke dalam Dewan.
Selain itu, mereka juga menganggap tindakan berkenaan bertujuan untuk mengalih perhatian daripada isu sebenar yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Duyong, Datuk Gan Tian Loo.
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Negeri Melaka, Datuk Ab. Karim Sulaiman berkata, tindakan kelima-lima ADUN itu melampau kerana tidak patuh dan menghormati peraturan Ddewan serta Speaker DUN, Datuk Othman Muhammad.
''Lebih memalukan apabila mereka membawa sepanduk di dalam Dewan. Tindakan mereka itu seolah-olah ingin menjadikan Dewan seperti pasar," katanya ketika dihubungi di sini hari ini,.
Kelmarin, kelima-lima ADUN berkenaan menimbulkan kekecohan dalam DUN kerana tidak berpuas hati dengan tindakan Tian Loo yang bertanyakan soalan kepada ADUN Kota Laksamana, Betty Chew Gek Cheng sama ada beliau mengenali seorang wanita bernama Ng Phaik Kheng Isnin lalu.
Bagi Pengerusi Gerakan Belia 4B Melaka, Mohd. Nizam Omar, sikap wakil rakyat DAP itu amat memeranjatkan dan mereka tidak sepatutnya bertindak biadab dengan menjadikan Dewan sebagai tempat membuat demonstrasi.
''Tindakan mereka secara tidak langsung telah mencemar undang-undang negara," ujarnya.
Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Melaka, Abd. Rahim Osman berkata, belum pernah berlaku pada sidang DUN wakil rakyat membuat demonstrasi sambil memaparkan kain rentang di dalam Dewan.
Menurutnya, tindakan itu memperlihatkan sikap biadab mereka yang langsung tidak menghormati Dewan.
''Kelima-lima ADUN DAP itu telah mencemarkan kemuliaan Dewan, mereka sepatutnya bersikap profesional," katanya.
Beliau menambah, tindakan Speaker DUN menggantung wakil rakyat pembangkang itu adalah wajar kerana mereka telah mencemar kemuliaan Dewan.
Bagi Pengerusi Majlis Gabungan Belia Daerah Alor Gajah, Zaidi Mohamad, ADUN DAP terbabit jelas tidak menghormati Dewan apabila membuat tindakan biadab tersebut.
''Kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan biadab wakil rakyat DAP yang langsung tidak berperaturan dan menjaga tertib di dalam Dewan," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 07/07/12

Tiada ulasan: