MARANG 1 Julai - Pas berhasrat menjadi tulang
belakang kepada pemerintahan negara jika pakatan pembangkang menguasai
Kerajaan Pusat dalam pilihan raya umum akan datang.
Sehubungan itu, Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
membayangkan, jumlah kerusi yang akan ditandingi parti tersebut mungkin
meningkat sehingga 80 berbanding 66 kerusi dalam pilihan raya umum lalu.
Katanya, Pas akan memikul tanggungjawab itu sebagaimana UMNO menjadi
tulang belakang kepada Barisan Nasional (BN) dalam mencorak hala tuju
negara dengan kedudukannya sebagai parti paling kuat.
Beliau menarik perhatian, jika DAP bertanding 40 hingga 60 kerusi
Parlimen, malah jika menang 50 kerusi sekali pun, parti itu tidak dapat
memerintah negara bersendirian.
"Pakatan Rakyat telah menerima kita (Pas) sebagai parti yang paling
kuat serta mempunyai jentera ramai malah kita juga sanggup pikul
tanggungjawab untuk bertanding di kawasan yang Parti Keadilan Rakyat
(PKR) dan DAP tidak mahu bertanding.
"Jadi, jika mereka (DAP) menang sekali pun mereka tidak boleh
memerintah sendiri kerana kita adalah tulang belakang rakyat dan tulang
belakang itu adalah orang Melayu kita," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada ceramah perdana sempena
Himpunan Hijau Pas ke Putrajaya Ganti UMNO Peringkat Negeri Terengganu
di Padang Mengkuang, Bukit Payung di sini malam tadi.
Pada pilihan raya umum ke-12, Pas bertanding di 66 kerusi Parlimen
dan menang 23 daripadanya, lebih kecil berbanding DAP dan PKR
masing-masing bertanding di 47 dan 97 kerusi di mana DAP menang di 28
kawasan dan PKR pula 31.
"Kita telah berdebat 20 tahun dengan bukan Islam, akhirnya DAP terima
keputusan, sekiranya kita memerintah mereka akan terima semua syarat
kita tetapkan seperti (kedudukan) agama Islam, bahasa Melayu dan hak
orang Melayu," ujar Abdul Hadi.
Sementara itu, ketika ditanya oleh pemberita sekiranya Pas memperoleh
kemenangan terbesar kelak, apakah ia masih ingin melantik Ketua
Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, Abdul
Hadi berkata:
"Belum ada keputusan lagi siapa...nanti selepas menang baru kita putuskan.
Sebelum ini, Pas pernah menyatakan persetujuan sebulat suara dengan
parti komponen pembangkang lain untuk melantik ketua pembangkang itu
sebagai Perdana Menteri.
/hwa: utusan.com.my | 2/7/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan