29 Julai 2012

Pas perlu akui bukan parti dominan

KUALA LUMPUR 25 Julai - Pas perlu membuat pengakuan bahawa mereka bukan parti dominan dalam pakatan pembangkang kerana terbukti parti itu telah tunduk kepada DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam banyak keputusan dan isu.
Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Nakhaie Ahmad berkata, kini sudah jelas DAP lebih mendominasi pakatan pembangkang dalam pelbagai perkara termasuklah melibatkan isu penjualan arak serta murtad di Selangor manakala Pas hanya diam membisu.
"Pas mengaku dia dominan tetapi tunduk apabila Pengerusi DAP, Karpal Singh menentang habis-habisan hukum hudud sehingga parti itu sanggup melupakan perjuangan mereka untuk itu.
"Justeru, pengakuan Pas sebagai parti dominan dalam pakatan pembangkang samalah seperti orang yang mengaku sebagai pemilik tanah tetapi geran nama orang lain," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda Pas, Nasruddin Hassan berhubung perkara itu ketika berdebat dengan Pengerusi Jawatankuasa Kerja, Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jaya yang mengupas topik bertajuk Pilihan Raya Umum Ke-13: Orang Muda Pilih Siapa? baru-baru ini.
Tambah beliau, jika benar dominan, Pas perlu menunjukkan bukti dengan berani terutama dalam membuat keputusan walaupun ditentang oleh DAP dan PKR.
Tegasnya, Pas di Selangor sahaja sudah memberikan gambaran jelas bahawa parti itu hanya sebagai pengikut setia yang bersedia menurut perintah.
"Jika benar Pas dominan dalam pakatan pembangkang, mengapa jawatan Exco Agama tidak diberikan kepada parti itu tetapi sebaliknya dijaga oleh PKR.
"Lagi satu, kalau dominan, mengapa hukum hudud tidak dimasukkan ke dalam Buku Jingga yang menjadi 'kitab' perjuangan mereka?" ujarnya.
Katanya lagi, rakyat perlu menilai persoalan-persoalan itu dan hanya mereka yang tidak berfikir secara waras sahaja percaya Pas parti dominan.
/hwa: utusan.com.my | 26/7/12 

Tiada ulasan: