Mohd. Shafie Apdal menyampaikan
sumbangan untuk keluarga miskin, warga emas, ibu tunggal dan anak yatim
Bahagian Seputeh pada Persidangan Perwakilan UMNO bahagian itu di Kuala
Lumpur, semalam.
*****
KUALA LUMPUR 29 Julai - Keputusan Timbalan Menteri Perumahan dan
Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin meletakkan semua jawatan dalam
UMNO dan Barisan Nasional (BN) dianggap sebagai 'asam garam' atau
perkara biasa dalam politik.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata,
perkembangan yang berlaku itu bukan perkara baru kerana UMNO sebelum ini
pernah menyaksikan ahli-ahlinya yang berjawatan tinggi termasuk
Timbalan Presiden keluar parti.
Menurut beliau, apa yang penting semua pemimpin dan ahli UMNO
sentiasa bekerja keras bagi memantapkan parti sebagai persiapan
menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.
"Segala cabaran pasti dapat kita tangani. Kita pernah melihat
pemimpin keluar parti, malah UMNO pernah diharamkan. Semua itu tidak
menghalang kita terus bekerja kuat untuk membantu rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Perwakilan
UMNO Bahagian Seputeh 2012 di Dewan Besar Pusat Khidmat Masyarakat BN
Parlimen Seputeh di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Mustafa Kamal Mohd. Yusoff dan pemimpin-pemimpin kanan UMNO bahagian berkenaan.
Mohd. Shafie berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Lajim
mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Ketua
UMNO Bahagian Beaufort dan Pengerusi BN Beaufort, Sabah semalam.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menambah,
kemenangan Lajim di Parlimen Beaufort pada Pilihan Raya Umum Ke-12
banyak bergantung kepada kekuatan BN di Sabah.
"Kita pernah melihat bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Yong Teck
Lee menang pilihan raya semasa menjadi calon BN, tetapi beliau tewas
apabila mewakili pembangkang," ujarnya.
Bagaimanapun, jelas Mohd. Shafie, BN dan UMNO tidak sepatutnya alpa
dan memandang ringan keupayaan pihak lawan demi memastikan kejayaan pada
pilihan raya umum akan datang.
Ketika ditanya sama ada khabar angin lebih ramai pemimpin UMNO di
Sabah akan keluar parti ekoran nama mereka tidak tersenarai sebagai
calon pada pilihan raya umum nanti, beliau menyifatkan perkara itu
sekadar andaian sahaja.
/hwa: utusan.com.my | 30/7/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan