Samsudin Osman ceria semasa meninjau
persiapan Festival Floria 2012 di Taman Wawasan Putrajaya baru-baru
ini. - utusan/HANAFI KHAMIS
*****
SUATU malam Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj),
Tan Sri Samsudin Osman sedang menuju ke Pusat Maritim di Presint 5,
Putrajaya untuk satu majlis makan malam. Melalui Jambatan Seri Gemilang
dekat situ, beliau mendapati suasananya gelap gelita.
Lantas Samsudin, 64, menghubungi seorang stafnya. "Kenapa lampu jalan
di Jambatan Seri Gemilang ni tak menyala," demikian antara katanya.
Tidak lama kemudian, tiang-tiang lampu di situ terang benderang.
Samsudin atau dikenali mesra dalam kalangan pengamal media 'Tan Sri
Sam' sayangkan Putrajaya. Idolanya, ialah arkitek Putrajaya, Tun Dr.
Mahathir Mohamad. Karektor Perdana Menteri keempat itu kadang kala
terbawa-bawa dalam urusan kerjanya ketika menggerakkan Putrajaya.
"Tidak pernah beliau menjerit pada stafnya, kalau tegur nadanya berhemah. Yang pasti, beliau sangat passionate
akan Putrajaya," kata staf PPj itu lagi bercerita pasal bosnya yang
akan menggesek kad perakam waktu terakhirnya esok (31 Julai).
Samsudin yang tamat tempoh kontraknya akan digantikan dengan bekas
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Dr. Aseh Che Mat, 61,
lusa.
Putrajaya di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak kini
semakin berkembang pesat. Orang sudah lupa tentang ura-ura sebuah parti
politik yang dihebohkan pada akhir 1990-an lalu mahu 'melelong'
Putrajaya .
Pada tahun-tahun kebelakangan ini, PPj kerap menerima kunjungan
daripada pemimpin serta agensi teknikal daripada luar negara terutamanya
dari Korea Selatan.
Korea Selatan sedang membangunkan pusat pentadbiran yang serupa
dengan Putrajaya yang dikenali sebagai Saejong Bandar Pentadbiran
Pelbagai Fungsi. Tujuan kunjungan dan lawatan teknikal tersebut ialah
mempelajari pengalaman merancang dan membangun dan memindahkan
kakitangan kerajaan ke Putrajaya.
Sama seperti Putrajaya, terdapat pusat-pusat pentadbiran lain yang
telah dibangunkan di dunia. Contohnya Washington DC (Amerika Syarikat),
Ottawa (Kanada), Canberra (Australia), Chandigarh (India), Brasilia
(Brazil) dan Islamabad (Pakistan) yang merupakan terawal dibangunkan
iaitu antara tahun 1787 sehingga 1958. Dan terbaru, Saejong di Korea
yang sedang dalam proses perpindahan pejabat kerajaan.
Persamaan antara pusat-pusat pentadbiran tersebut adalah ia merupakan pusat pentadbiran negara yang terancang.
"Kebanyakan pemimpin asing yang datang melawat Putrajaya kagum dengan perancangan dan pembangunannya," kata Samsudin kepada Utusan Malaysia.
Kata Samsudin lagi yang sekadar menggunakan nama 'SBO' (Samsudin bin
Osman) apabila berurusan melalui e-mel atau sms dengan stafnya:
"Bilangan pelawat dan pelancong yang direkodkan berkunjung ke Putrajaya
pada 2011 telah meningkat iaitu sebanyak 1.7 juta orang berbanding
sebanyak 1.6 juta orang pada 2010.
"Iaitu pertambahan sebanyak 6 peratus. Kumpulan pelawat dan pelancong
dari China, Hong Kong, Jepun, Taiwan, Singapura, Korea dan Indonesia
merupakan antara kumpulan pelawat dan pelancong terbesar yang datang ke
Putrajaya."
Mengikut data Jabatan Perangkaan, jumlah penduduk Putrajaya pada 2010
ialah seramai 72,413 orang. Bagi tahun ini pula ialah seramai 87,100
orang. Ia berdasarkan 22,136 unit rumah kuarters dan 3,864 unit rumah
persendirian yang diduduki.
Sehingga Mac tahun ini, pengundi berdaftar di Putrajaya ialah seramai
13,315 orang. Jumlah penduduk kuarters oleh penjawat awam dan ahli
keluarga mereka pula dianggarkan sebanyak 74,156 orang. Penduduk yang
tinggal di rumah sendiri berserta ahli keluarga mereka pula adalah
sebanyak 12,944 orang.
Banyak ciri yang boleh menggambarkan kepesatan Putrajaya ketika ini.
Antaranya, peningkatan bilangan lesen premis sebanyak 15 peratus dalam
tahun ini iaitu daripada 792 lesen pada akhir 2011 kepada 914 lesen
sehingga 13 Julai tahun ini. Ini tidak termasuk lesen penjaja.
Peningkatan penumpang bas Nadi Putra pula adalah daripada 2 juta
kepada 2.4 juta - peningkatan sebanyak 20 peratus bagi tempoh enam bulan
pertama tahun ini berbanding tempoh sama bagi 2011. Pada 2007, jumlah
penumpang tidak sampai separuh daripada tahap sekarang.
Pembangunan premis komersial juga semakin rancak di Presint 2, 3 dan
8. Juga, sambutan memberangsangkan bagi pembangunan rumah-rumah
persendirian termasuk jenis kondominium di Presint 15.
Wad-wad di Hospital Putrajaya juga mengalami kesesakan dan kini wad
bersalin tambahan telah dibuka di Presint 8. Begitu juga dengan klinik
rawatan, kini telah dibuka beberapa cawangan baru di Presint 3, Presint
11 dan Presint 14.
Di Dataran Putra, ketara sekali kunjungan bas-bas pelawat yang
semakin menyesakkan. Keadaan di Putrajaya Sentral pula tidak lagi
lengang seperti dahulu.
"Putrajaya menjadi pilihan pelawat dan pelancong untuk destinasi
lawatan kerana faktor keindahan semula jadi hijau di tengah-tengah
bandar, tasik dan wetland serta imej sebagai pusat pentadbiran kerajaan
yang baru," kata Samsudin.
Masalah kesesakan di Putrajaya pada waktu pagi kini dapat dikawal
melalui pengurusan trafik yang lancar. Masalah kekurangan tempat meletak
kereta bagi orang awam yang datang untuk berurusan dengan
pejabat-pejabat Kerajaan telah diatasi dengan memperkenalkan parking
berbayar.
Bagi keperluan pekerja pula, PPj telah membangunkan parking tambahan
sebanyak 673 lot di luar Kompleks E dan 140 lot di luar Kompleks B. Bagi
Presint 4 pula, sebuah bangunan parking yang memuatkan 950 lot dalam
peringkat awal pembinaan.
"Kompleks PPj merupakan seni bina bangunan yang semakin popular dan
mendapat pujian kerana gerbangnya mempunyai imej futuristik dan Islamik.
Ia bukan sahaja menjadi pilihan sebagai bangunan latar untuk fotografi,
malah turut popular untuk pengambaran filem, drama dan majalah," ujar
Samsudin ditanya bangunan manakah yang paling kerap dilawati pelancong.
Mengenai pembinaan Monorel di Putrajaya, kata Samsudin: "Sebahagian
daripada infrastruktur termasuk terowong bawah tanah, jambatan merentasi
tasik dan sebahagian struktur stesen monorel di Putrajaya Sentral telah
siap dibina.
"Jajaran dua laluan utama sepanjang 20km termasuk lokasi 25 stesen
telah dikenal pasti dan kekotak stesen telah dibina bersekali dengan
pembinaan terowong. Pelaksanaannya adalah tertakluk kepada persetujuan
dan peruntukan Kerajaan Persekutuan."
Dengan siapnya hampir keseluruhan komponen pejabat kerajaan di
Putrajaya dan dengan perpindahan kementerian serta agensi kerajaan
berkaitan, pembangunan Putrajaya dalam tempoh lima tahun akan datang,
ditumpukan kepada pembangunan sektor komersial serta pembangunan
perumahan untuk dijual kepada pemilik persendirian oleh pihak pemaju
Putrajaya Holdings.
Ini adalah selaras dengan matlamat untuk menjadikan Putrajaya lebih vibrant dan seterusnya merancakkan lagi pembangunan ekonomi bandar Putrajaya.
Antara pembangunan yang akan siap dalam jangkamasa terdekat adalah
pembangunan hotel bertaraf 'business' di Presint 1, pembangunan
komersial 'retail & F&B' di Sisiran Tasik di Presint 8, City
Campus Herriot Watt University di Presint 5, Pusat Konservasi Panda di
Taman Wetlands, City Trail antara Dataran Putra dan Alamanda, dan
lain-lain.
"Saya harapkan Putrajaya menjadi bandar idaman bagi semua golongan
hasil daripada kesejahteraan kehidupan, kelestarian persekitarannya dan
kemapanan ekonominya yang bertunjangkan industri pelancongan dan
industri perkhidmatan.
"Harapan ini bukanlah angan-angan semata-mata," kata Samsudin yang
gemarkan lagu lama 'Menimbang Rasa', 'Terukir di Bintang' dan makanan
nasi Arab.
/hwa: utusan.com.my | 30/7/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan