MUHYIDDIN Yassin memasak pisang
goreng ditemani isterinya, Noorainee Abdul Rahman (kanan) ketika
meninjau gerai-gerai bazar Ramadan di Taman Indah Permai, Sepanggar,
dekat Kota Kinabalu, Sabah, semalam. Turut serta Datuk Seri Musa Aman
(dua, kiri). - BERNAMA
*****
SEPANGGAR 28 Julai - Pimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) di semua
peringkat diingatkan supaya menyelesaikan secara musyawarah setiap
perbezaan pendapat yang timbul bagi mengelak timbulnya perasaan buruk
sangka.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, proses
pertemuan dan perbincangan amat penting bagi membolehkan sesuatu isu
yang timbul itu dapat difahami dengan sebaik mungkin, sekali gus
menyelesaikannya secara kekeluargaan.
"Pada setiap masa akan ada pihak-pihak tertentu yang akan cuba
menjejaskan hubungan baik semua pihak, bagi mereka ketegangan dan
keadaan politik yang tidak stabil merupakan kelebihan kepada mereka,"
katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Masjid Jamek Kampung Likas di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman dan Ketua UMNO
Bahagian Sepanggar, Datuk Jumat Idris yang merupakan tuan rumah kepada
majlis itu serta pimpinan UMNO dan BN negeri.
Tambah Muhyiddin, pendekatan musyawarah bukan sahaja diajar oleh
agama Islam tetapi turut dianjurkan oleh agama-agama lain yang mahukan
semua pihak berada dalam keadaan baik dan sempurna.
Jelas beliau, perpaduan antara semua pihak merupakan resipi utama
kejayaan BN untuk mengekalkan kemenangan menjelang Pilihan Raya Umum
ke-13 (PRU-13) yang akan diadakan pada bila-bila masa.
Terdahulu, Muhyiddin bersama Musa membuat lawatan ramah mesra di
Bazar Ramadan Indah Permai, Sepanggar dekat sini sejurus tiba dari Kuala
Lumpur dan melawat 176 gerai yang menjual pelbagai juadah untuk berbuka
puasa.
Turut sama ialah isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman,
isteri Musa, Datin Seri Faridah Tussin dan Pembantu Menteri Kemajuan
Sumber dan Teknologi Maklumat Negeri Datuk Jainab Ahmad Ayid, yang juga
Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Karambunai.
/hwa: utusan.com.my | 29/7/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan