Najib Tun Razak beramah mesra dengan
rakyat yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri
di Pekan, Pahang, semalam.
*****
PEKAN 26 Ogos - Sambutan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini penuh dengan semangat
1Malaysia dan luar biasa apabila dihadiri lebih 100,000 rakyat daripada
pelbagai kaum.
Rumah terbuka yang bermula pukul 10 pagi dan berakhir 2 petang itu
menyaksikan orang ramai daripada pelbagai kaum saling beramah mesra,
selain menikmati pelbagai juadah di lebih 200 gerai yang disediakan.
Turut berangkat ke majlis tersebut ialah Tengku Mahkota Pahang,
Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah
Aminah Maimunah Iskandariah.
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Ahli Parlimen
Rompin, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis; Ahli Majlis Tertinggi UMNO,
Datuk Seri Shahidan Kassim dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk
Ishak Muhammad.
Rumah terbuka itu menyaksikan Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri
Rosmah Mansor bersama pemimpin kerajaan negeri dan UMNO Bahagian Pekan
turun padang untuk beramah mesra dengan rakyat pelbagai lapisan.
Sambutan ‘luar biasa’ masyarakat termasuk dari luar Pahang itu
menyaksikan orang ramai berpusu-pusu sejak pukul 9 pagi lagi untuk
bertemu dengan pemimpin yang mereka sayangi itu walaupun majlis hanya
dijadualkan bermula 10 pagi.
Malah sehingga pukul 2 petang, orang ramai masih terus memenuhi
pekarangan Taman Tasik Sultan Abu Bakar, lokasi penganjuran rumah
terbuka itu.
Keseluruhannya, lebih 160 usahawan tempatan terlibat menyediakan
beberapa juadah istimewa seperti opor, laksa Pahang dan tidak terkecuali
puding raja serta ikan patin masak tempoyak yang menjadi tumpuan orang
ramai pada majlis itu.
Rumah terbuka itu turut dimeriahkan dengan persembahan artis-artis
tempatan seperti Awie Wings, Syed Sobri, DJ Dave, Hattan, Noraniza Idris
dan Nasir Wahab manakala Linda Onn, Sharifah Shahira dan Lan Pet Pet
bertindak sebagai pengacara majlis.
Pada majlis itu juga, Perdana Menteri bersama isteri turut
menyampaikan sumbangan kepada 240 bakal jemaah haji dan memberi duit
raya kepada kanak-kanak yang hadir.
Dalam pada itu, Najib ketika berucap merakamkan terima kasih kepada
semua pengunjung yang datang dari dekat dan jauh termasuk sejauh Tawau,
Sabah ke rumah terbuka itu.
“Sebagai umat Islam kita telah menjalani ibadah puasa dalam bulan
Ramadan dengan niat untuk mendapatkan rahmat dari Allah dan jika kita
telah tunaikan kewajipan kita dengan baik, maka Allah janjikan pahala
dan fadilat yangg cukup besar bagi kita," katanya.
Menurut beliau, jika puasa merupakan ikatan kepada Allah, maka dalam
bulan Syawal ini digalakkan untuk semua umat Islam menguatkan
silaturahim, saling menghormati dan bermaafan.
“Inilah istimewanya ajaran Islam. Sebagai khalifah di bumi ini kita
perlu kuatkan silaturahim dan ukhuwah sesama kita barulah dapat jalankan
peranan kita sebagai khalifah," katanya.
Najib dalam ucapannya juga menyifatkan rumah terbuka sepanjang Syawal
yang diamalkan umat Islam di negara ini sebagai cukup istimewa.
“Sebulan berpuasa, sebulan juga kita berhari raya. Rumah terbuka tak
putus-putus sepanjang bulan Syawal. Ini satu keunikan di Malaysia dan
yang untung selain peniaga adalah kita sendiri kerana dapat mengeratkan
ukhuwah," ujarnya.
/hwa: utusan.com.my | 27/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan