SELEPAS 55 tahun selepas Merdeka, rakyat Malaysia masih belum
mencapai kata sepakat tentang identiti negara tercinta ini. Ia bukan
sesuatu yang luar biasa. Kebanyakan negara lain, terutamanya yang
berbilang kaum dan agama, menghadapi cabaran yang sama.
Bagi negara-negara yang mempunyai status berbilang kaum akibat
daripada proses penjajahan, cabarannya jauh lebih rumit jika
dibandingkan dengan negara-negara yang memperolehi ciri-ciri berbilang
kaum melalui penaklukan atau integrasi wilayah mahupun penerimaan
pendatang dari luar yang ditentukan oleh elit pribumi negara itu
sendiri.
Sebagai contoh di Malaysia ,para Sultan Melayu tidak terlibat di
dalam membuat keputusan untuk menerima ratusan ribu pendatang dari China
dan India dalam kurun 19. Pihak penjajah British yang bertanggungjawab
ke atas penghijrahan ini untuk kepentingan ekonomi kolonial mereka.
Justeru, sistem ekonomi yang wujud dari kurun 19 memperlihatkan
pengasingan kaum Cina dan India dalam gelanggang ekonomi masing-masing
daripada bangsa Melayu yang terus terikat dengan ekonomi desanya dan
sistem pentadbiran kesultanan-kesultanan Melayu.
Pengasingan ini membawa implikasi besar kepada sistem pendidikan,
corak hidup sosial dan alam budaya kaum-kaum yang menetap di negara ini.
Kesan-kesan negatif daripada sejarah kolonial ini boleh dirasai
sehingga ke hari ini.
Mungkin dampak yang paling serius adalah dalam sikap dan pandangan
sebahagian besar kaum Cina dan India terhadap identiti diri mereka dan
identiti Malaysia.
Untuk memahami cabaran ini, kita harus merenung kembali sejarah
identiti kelompok-kelompok Cina yang berhijrah ke Tanah Melayu pada
kurun 15 dan selepasnya - iaitu sebelum zaman kolonial British - dan
cara mereka menyesuaikan diri dengan persekitaran keMelayuan.
Walaupun kelompok-kelompok ini kekal dengan agama Buddha , bahasa
dan budaya tempatan mudah diserap kerana mereka mahu menyesuaikan diri
dengan budaya dan masyarakat induk yang dikuasai sistem kesultanan
ketika itu.
Pada zaman kolonial, sebagai bangsa terjajah, Melayu hilang kedudukan puncaknya.
Manakala, kelompok-kelompok Cina yang bermastautin di Melaka,
Terengganu dan Kelantan pada masa itu adalah dalam jumlah yang kecil .
Perspektif
Latar belakang sejarah ini telah mempengaruhi sebahagian daripada
perspektif tentang identiti negara dan penduduknya selepas kemerdekaan.
Pada keseluruhannya, kita dapat mengenalpasti tiga perspektif.
Pertama, sebahagian daripada masyarakat Melayu menganggap Malaysia
adalah sebagai negara Melayu. Dari segi fakta sejarah tidak dapat
disangkal, kesultanan Melayu merupakan teras sistem Persekutuan yang
dibentuk pada 1948.
Ini diperkukuhkan lagi dengan kewujudan dinasti kesultanan yang
tertua di dunia iaitu kesultanan Kedah yang diasaskan pada tahun 1136.
Tidak dapat dinafikan bahawa latarbelakang negara ini berhubungkait
dengan sistem pemerintahan Melayu.
Tetapi, sekiranya Malaysia ditonjolkan sebagai negara Melayu dalam
konteks semasa, ia akan menimbulkan kegelisahan di kalangan dua komponen
rakyat Malaysia. Bagi bumiputera Sabah dan Sarawak, khususnya Kadazan
dan Iban, konsep identiti nasional sedemikian seolah-olah meminggirkan
mereka.
Begitu juga bagi kaum Cina, India dan minoriti lain di semenanjung Malaysia, termasuk, Orang Asli yang bukan Islam.
Kedua, di kalangan orang Melayu terdapat beberapa kumpulan yang
berpegang pada idea bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam. Benar,
majoriti penduduk negara - lebih 60 peratus - adalah penganut agama
Islam. Malah, sebelum zaman kolonial, Islam merupakan asas perundangan
di dalam sistem pemerintahan kesultanan Melayu.
Tetapi, sudah tentu 40 peratus masyarakat bukan Islam tidak dapat
mengidentifikasikan diri mereka dengan negara yang mengisytiharkan
dirinya sebagai negara Islam. Sekiranya, komponen warganegara yang
begitu besar merasa terasing daripada identiti sebuah negara, usaha
menyatupadukan masyarakat berbilang agama ini akan terancam.
Ketiga, bagi majoriti bukan Melayu pula Malaysia adalah sebuah
negara berbilang kaum dan agama. Itulah identitinya. Deskripsi Malaysia
sebagai negara berbilang kaum dan agama mencerminkan realiti masyarakat
kita.
Tetapi, bagi sebahagian besar bukan Melayu realiti ini terpisah
daripada sejarah dan latarbelakang negara yang berakar-umbi dari sistem
Melayu-Islam. Ini menyumbang kepada keengganan mereka mengiktiraf
peranan istimewa bahasa Melayu dan agama Islam dalam pembentukan
identiti negara.
Jelas, ketiga-tiga perspektif yang dibincangkan tidak menepati
pencarian satu identiti nasional. Oleh yang demikian, apakah konsep
identiti yang paling sesuai, yang peka pada sensitiviti semua kaum di
negara kita?
Ternyata konsep yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia adalah
konsep yang adil, sesuai dan menepati sifat-sifat identiti bagi negara
dan rakyat kita.
Perlembagaan Malaysia mengiktiraf kedudukan Bahasa Melayu sebagai
bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang tunggal. Islam juga dinobatkan
sebagai agama Persekutuan. Ini adalah pengiktirafan dan penerimaan
terhadap sejarah dan latarbelakang negara dalam pembentukan identiti
Malaysia.
Dalam hubungan ini, peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,
khususnya, amat penting dari segi evolusi identiti nasional. Dalam
masyarakat berbilang kaum walau di mana-mana, jika bahasa dapat
memudahkan komunikasi antara kaum dan budaya yang berbeza, ia akan
membantu proses interaksi dan integrasi.
Inilah peranan yang dimainkan oleh Bahasa Melayu sepanjang sejarah
sebagai lingua franca (bahasa perantara) yang paling berkesan dalam
mewujudkan identiti serantau Nusantara.
Kembali kepada Perlembagaan Malaysia, dokumen ini juga mengiktiraf kedudukan dan peranan bahasa-bahasa lain.
Pada masa yang sama, Perlembagaan kita menegakkan hak penganut
agama-agama bukan Islam untuk mengamalkan agama masing-masing. Akomodasi
bahasa-bahasa bukan Melayu dan agama-agama bukan Islam dalam
Perlembagaan adalah pengakuan bahawa bahasa-bahasa dan agama-agama ini
juga adalah sebahagian daripada identiti Malaysia.
Kepimpinan nasional - kerajaan mahu pun pembangkang - gagal
menyebarkan kefahaman identiti yang adil dan seimbang ini yang merupakan
kekuatan Perlembagaan kita kepada khalayak.
Terbatas
Sekiranya sistem persekolahan kita, dari sekolah rendah sehingga
sekolah menengah, memberi tumpuan kepada perkara ini - mempertingkatkan
kefahaman pelajar-pelajar tentang Perlembagaan sebagai asas identiti
nasional - sejak Merdeka pada 1957 dahulu, mungkin suasana masyarakat
kita lebih harmonis pada hari ini.
Sebenarnya, konsep identiti dalam Perlembagaan telah dikembangkan
secara tidak langsung melalui Rukunegara dan Wawasan 2020. Oleh kerana
identiti tidak terbatas pada soal kaum dan agama semata-mata, dua
dokumen nasional yang penting ini memperkukuhkan lagi konsep identiti
Malaysia yang juga merangkumi institusi-institusi serta nilai-nilai.
Sistem Raja Berperlembagaan, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan
Undang-Undang dan sistem Demokrasi Berparlimen, yang ditekankan di dalam
Rukunegara juga mencirikan identiti negara kita.
Begitu juga nilai-nilai yang terkandung dalam Rukunegara seperti
perpaduan, keadilan, pendekatan liberal terhadap kepelbagaian budaya dan
tradisi masyarakat, dan sikap progresif terhadap sains dan teknologi
merupakan dimensi-dimensi penting dalam usaha kita membentuk identiti
rakyat dan negara Malaysia.
Wawasan 2020 terus memberi keutamaan kepada nilai-nilai murni yang
sama. Malah, dokumen ini juga menyuarakan iltizam negara untuk
mewujudkan masyarakat yang " berjiwa bebas, tenteram dan maju dengan
keyakinan terhadap diri sendiri" dan melahirkan masyarakat beretika dan
bermoral.
Nilai-nilai ini boleh dianggap sebagai nilai-nilai yang berpaksikan
kepada Kepercayaan pada Tuhan iaitu, prinsip pertama Rukunegara. Dalam
sebuah masyarakat dimana lebih daripada 80% penduduknya percaya pada
Tuhan, prinsip ini harus diterima sebagai ciri utama identiti bangsa
Malaysia.
Untuk memastikan bahawa kepercayaan pada Tuhan adalah prinsip
identiti yang benar-benar dihayati, adalah menjadi tanggungjawab kita
semua untuk menegakkan keadilan, keihsanan dan kejujuran dalam kehidupan
masyarakat Malaysia.
Perlembagaan, Rukunegara dan Wawasan 2020 yang menjurus ke arah
identiti nasional pada hakikatnya termaktub dalam idea 1Malaysia. Ini
bermakna bahawa 1Malaysia merupakan intipati identiti Malaysia.
Menegak dan mengukuhkan identiti rakyat dan negara adalah cabaran
besar yang dihadapi oleh kita pada ulang tahun Kemerdekaan Malaysia yang
ke 55, terutamanya akibat beberapa perkembangan semasa. Di peringkat
domestik, sentimen kaum dan agama lebih ketara dan menjejaskan usaha ke
arah identiti nasional.
Identiti nasional juga terancam akibat politik kepartian yang
melampaui batas. Di peringkat global, proses globalisasi yang membawa
impak pada hampir setiap budaya dan bahasa sudah mula menggugat bahasa
kebangsaan dalam bidang-bidang tertentu.
/hwa: utusan.com.my | 19/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan