Lebih dua juta umat Islam berkumpul untuk melakukan ibadat di Masjidilharam pada penghujung bulan Ramadan.
*****
MULANYA ramai yang menyangka Arab Saudi akan menyambut Hari Raya
Aidilfitri semalam (Sabtu). Bagaimanapun pada Jumaat, imam Masjidilharam
meneruskan solat tarawih.
Ini bermakna hari raya jatuh pada hari ini, sama seperti yang
disambut oleh umat Islam di Malaysia. Bezanya, penduduk Arab Saudi
melengkapkan 30 hari berpuasa Ramadan tahun ini selepas pihak berkuasa
negara itu mengumumkan Sabtu sebagai Hari Raya Aidilfitri.
Dengan pengumuman itu berakhirlah pesta ibadat di dua tanah suci,
Mekah dan Madinah. Dua kota ini dihidupkan dengan kehadiran jutaan umat
Islam dari seluruh dunia untuk mengerjakan umrah dan ziarah. Kemuncaknya
pada 10 malam terakhir di mana kedua-dua masjid iaitu Masjidilharam di
Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah sentiasa penuh sesak dengan jemaah.
Kedua-dua masjid hidup 24 jam dengan tarawih, solat sunat, tadarus
al-Quran.
Mereka juga berpeluang beramal ibadat dengan aktiviti menjamu orang
ramai berbuka puasa. Sama ada di Mekah atau Madinah, jemaah yang datang
dengan tangan kosong tidak akan kelaparan kerana ada sahaja mereka
yang sudi menderma makanan dan minuman.
Inilah antara aktiviti masyarakat di bawah yang dapat melambangkan
perpaduan umat. Mereka tanpa mengira warna kulit dan latar belakang
kehidupan sama-sama melakukan tawaf dan saie.
Lebih menarik pada kali ini, sekumpulan pemimpin negara Islam dari
seluruh dunia turut sama menghidupkan malam-malam terakhir Ramadan.
Mereka menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa Ke-4 Pertubuhan Kerjasama
Islam (OIC) atas undangan Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Abdullah Abdul
Aziz pada 26 dan 27 Ramadan yang lalu. Pertemuan itu yang turut dihadiri
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membincangkan isu perpaduan
ummah dalam kalangan masyarakat Islam dunia. Fokusnya ialah kepada
permasalahan di Syria, Palestin dan Myanmar.
Justeru, kehadiran jutaan umat Islam untuk menunaikan umrah dan
pemimpin mereka di tanah suci secara simbolik menunjukkan pentingnya
perpaduan antara pemimpin dan umat. Kehadiran pemimpin ini turut menarik
perhatian imam Masjidilharam, Sheikh Abdul Rahmad Al-Sudais ketika
menyampaikan khutbah Jumaat terakhir Ramadan. Beliau menghargai komitmen
yang ditunjukkan oleh pemimpin dengan merujuk kepada firman Allah yang
bermaksud Dan berpegang teguhlah kamu kepada tali Allah dan janganlah
kamu bercerai berai.
Beliau turut membidas pihak yang tidak peduli dengan kritikan
masyarakat antarabangsa berhubung kezaliman yang berlaku di beberapa
negara di dunia.
Katanya, kekejaman terhadap kanak-kanak, wanita dan orang tua
berlaku dengan sewenang-wenangnya. Amat mengecewakan, jenayah itu
berlaku dalam pengetahuan masyarakat antarabangsa yang sengaja
memekakkan telinga dan membutakan mata mereka.
Beliau turut menggesa umat Islam supaya takutkan Allah dalam
kehidupan mereka serta mematuhi perintah-Nya untuk mendapat rahmat dan
keampunan di dunia dan akhirat.
Imam itu menarik perhatian bahawa ketika umat Islam sedang
mengucapkan selamat tinggal kepada bulan Ramadan, mereka telah
didedahkan dengan pelbagai penindasan demi penindasan di dunia termasuk
di Palestin, Syria dan Myanmar.
Turut disentuh beliau ialah mengenai kepercayaan terhadap ideologi
yang boleh menyesat dan merosakkan fikiran. Itulah antara inti pati
khutbah yang mengajak umat Islam untuk meningkatkan perpaduan dalam
kalangan mereka dan mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
Syukurlah kebanyakan umat Islam di dunia dapat menjalani ibadah
Ramadan dengan sempurna kecuali di beberapa negara. Suasana ini perlu
dipertahankan.
Semangat perpaduan yang dizahirkan di Mekah harus diterima oleh
masyarakat Islam seluruhnya. Mungkin perpaduan yang ada pada hari ini
dianggap sudah utuh. Tetapi musuh-musuh Islam akan sentiasa berusaha
untuk memusnahkan perpaduan yang ada dengan pebagai cara sekalipun. Cuma
sama ada kita sedar atau pun tidak. Ketika ini pun dalam masyarakat
kita insan yang berusaha menyatukan ummah akan dikecam. Selamat Hari
Raya Aidilfitri dari tanah suci, maaf zahir batin.
/hwa: utusan.com.my | 19/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan