SEPERTI MANA janji beliau untuk melakukan apa sahaja bagi
mempertahankan agama Islam, bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat
Isa menegaskan bersedia berdepan dengan Karpal Singh di mahkamah dalam
isu beliau mendakwa Pengerusi DAP itu anti Islam.
Soal siapa betul, siapa salah biarlah mahkamah menentukannya. Apa
yang lebih menjadi persoalan ialah pendirian Pas sendiri dalam
berhadapan pertembungan antara Nasharudin dan Karpal ini.
Setakat ini, golongan pemimpin Pas yang dianggap daripada kelompok
Anwarinas atau digelar sekular, dikatakan tidak menyebelahi Nasharudin,
sebaliknya mereka ingin melihat Ahli Parlimen Bachok itu dihukum oleh
parti kerana dianggap telah menggugat kerjasama dalam pakatan.
Bagi kelompok ini, mereka hanya mementingkan hubungan dengan Parti
Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, tidak kira apa pun kedua-dua parti itu
lakukan terhadap Pas.
Namun begitu, pemimpin-pemimpin Pas perlu diperingatkan mereka
mungkin tidak menyenangi Nasharudin tetapi percayalah sebahagian ahli
akar umbi masih utuh bersama bekas Timbalan Presiden Pas berkenaan.
Difahamkan, Nasharudin sendiri menerima sokongan yang cukup hebat
daripada pemimpin dan ahli-ahli akar umbi. Mereka mahu Nasharudin
istiqomah dalam perjuangannya demi masa depan orang Melayu dan umat
Islam.
Penulis bukannya mereka-reka sokongan ini tetapi inilah hakikat berdasarkan pelbagai sumber yang diperoleh penulis.
Ada antara mereka, secara terang-terangan mempersoalkan ke mana arah
perjuangan Pas dan apa benar perjuangan yang dibawa oleh parti itu.
Walaupun berbeza fahaman politik dengan UMNO, namun mereka tetap
berpendapat bahawa penyatuan ummah dan memartabatkan agama Islam harus
menjadi keutamaan dalam perjuangan Pas, bukannya begitu gelojoh memburu
kuasa bersama-sama PKR dan DAP sehingga sanggup menggadaikan
segala-galanya.
Atas sebab itulah, penulis melihat kepimpinan Pas kini berada dalam
kedudukan tidak selesa. Mungkin ada di kalangan pemimpin Pas yang terus
angkuh dengan mengecam Nasharudin dan menganggap kalau pun Nasharudin
keluar daripada Pas, ia tidak akan menggugat parti itu.
Tetapi mereka juga harus faham bahawa ini adalah ujian kedua kepada
Pas selepas pemecatan Datuk Dr. Hasan Ali, tidak lama dahulu. Jika
sebelum ini Hasan dipecat kerana membuat kenyataan yang dilihat oleh
kepimpinan Pas menyinggung perasaan PKR, kini mereka berhadapan pula
dengan kenyataan Nasharudin yang dilihat boleh menjejaskan hubungan
dengan DAP.
Jika Pas tidak berhati-hati dalam mengendali isu Nasharudin ini,
mereka akan menanggung akibat yang amat buruk pada pilihan raya umum
nanti.
Ini kerana pemimpin dan ahli di peringkat akar umbi melihat
Nasharudin tidak melakukan apa-apa kesalahan. Soal beliau dengan Karpal
biar diselesaikan di mahkamah tetapi ketegasan beliau mempertahankan
perjuangan Islam serta maruah Pas itulah yang menarik perhatian mereka.
Sebab itulah, ramai yang yakin Nasharudin tidak keseorangan dalam
perjuangan ini biar pun beliau sudah tidak dibenarkan oleh Pas Kelantan
mempertahankan kerusi Parlimen Bachok.
Bagi seorang yang berprinsip seperti Nasharudin, beliau tidak peduli
itu semua, seperti juga Hasan, segala yang beliau lakukan adalah demi
untuk perjuangan Islam dan demi menjaga martabat Pas daripada terus
diperkotak-katikkan dalam pakatan pembangkang.
Tetapi di dalam Pas, ada sesetengah pemimpin parti itu yang tidak
mempunyai aspirasi seperti kedua-dua insan berkenaan. Sikap politik
kepartian dan begitu taksub untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional
(BN) serta mengejar impian bagi memastikan Pas boleh menggantikan UMNO
telah mengaburi perjalanan politik mereka.
Bagaimanapun puak-puak berkenaan perlu ingat seperti mana kata
Nasharudin, "Pas tidak akan menang hanya dengan undi daripada ahlinya
sahaja.''
Justeru, berhati-hatilah supaya Pas tidak menjadi sebuah parti yang
paling rugi dalam muka bumi Allah ini kerana kita percaya Nasharudin
tidak keseorangan dalam perjuangan murninya itu.
/hwa: utusan.com.my | 21/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan