26 Ogos 2012

'Mustahil praktik hudud di Malaysia'

PULAU PINANG 20 Ogos - Pengerusi DAP, Karpal Singh (gambar) yang menentang keras pelaksanaan hukum hudud menyifatkan undang-undang Islam itu mustahil dipraktikkan di negara ini.
Katanya, hukum hudud tidak mampu membantu membasmi kegiatan jenayah di Malaysia.
Sebagai contoh dalam kes rogol, jelas beliau, mengikut hukum hudud memerlukan empat saksi untuk membuktikan 100 peratus bahawa suspek melakukan perbuatan jenayah tersebut.
"Mustahil untuk mendapatkan empat saksi dalam kes rogol, justeru sukar untuk memberikan 100 peratus bukti kukuh.
"Suspek tidak berasa takut kerana sukar mendapatkan 100 peratus untuk membuktikan dirinya bersalah," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Karpal menegaskan, DAP menentang perbuatan lompat parti oleh mana-mana ahli politik tanpa mengira dari parti mana sekali pun.
Lantaran itu, katanya, DAP tidak akan bertolak-ansur terhadap perkara tersebut.
"Ini adalah salah di sisi undang-undang kerana ia tertakluk dalam Perlembagaan Persekutuan. Tambahan pula, lompat parti ini adalah tindakan mengkhianati sokongan pengundi yang memberikan mandat kepada seseorang menjadi wakil rakyat mereka," katanya.
Karpal berharap Pilihan Raya Umum Ke-13 adalah satu pilihan raya bersih dengan calon yang bersih dan bukan seseorang yang akan mengkhianat pengundinya nanti.
/hwa: utusan.com.my | 21/8/12 

Tiada ulasan: