KUALA LUMPUR 20 Ogos - Penganalisis politik di negara ini
tertanya-tanya dengan tindakan DAP yang meletakkan tanggungjawab
menjelaskan penentangan parti itu terhadap hudud dan negara Islam Pas
sepenuhnya di bahu Pengerusinya, Karpal Singh.
Rata-rata mereka mempersoalkan tindakan berdiam diri pemimpin kanan
DAP lain termasuk Penasihatnya, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung, Lim
Guan Eng sebaliknya membiarkan Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu
keseorangan.
Pensyarah Geopolitik, Fakulti Sains Sosial Dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohd. Fuad Mat Jali (gambar) berkata, pemimpin DAP yang lain berkemungkinan memilih pendekatan jalan selamat untuk tidak menyentuh isu itu.
Katanya, taktik itu berkesan bagi membolehkan mereka menuding jari ke
arah Karpal sekiranya pertikaian isu tersebut berada di luar kawalan
sehingga meretakkan hubungan DAP dan Pas.
"Mungkin pemimpin lain nanti boleh mengatakan kenyataan Karpal selama
ini adalah pendapat peribadinya dan tidak berkaitan dengan polisi
parti. Ia seperti perumpamaan 'baling batu sembunyi tangan'.
"Guan Eng yang juga sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang menjarakkan
diri daripada isu ini kerana tidak mahu ia memudaratkan karier dan
reputasi politiknya. Beliau dilihat lebih senang melepaskan
tanggungjawab itu kepada Karpal yang tiada kepentingan," katanya ketika
dihubungi di sini hari ini.
Mohd. Fuad mengulas kelantangan Karpal menentang hukum hudud dan
matlamat menubuhkan negara Islam mengikut acuan Pas sehingga pernah
meminta parti itu 'melangkah mayatnya dahulu' sebelum ini.
Namun, di sebalik kelantangan veteran DAP itu, tiada pemimpin lain
daripada parti tersebut yang dilihat berani mengikut jejaknya termasuk
Kit Siang dan Guan Eng sendiri.
Perkara sama ditekankan oleh Pensyarah Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Arnold Puyok
yang melihat tindakan Guan Eng menjarakkan diri dari pertikaian hukum
tersebut adalah bagi melindungi reputasi politiknya sebagai Ketua
Menteri.
Tambahnya, Kit Siang pula berbuat demikian bagi melindungi karier
politik anaknya daripada terjerumus dalam sebarang masalah yang memberi
kesan kepada peluang pembangkang memenangi undi umat Islam pada pilihan
raya umum nanti.
"Tetapi secara jelas, mereka semua mahu mengelakkan daripada
berlakunya perpecahan dalam pakatan pembangkang antara Pas dan DAP yang
memberi impak besar kepada perjalanan politik parti berkenaan," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 21/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan