12 Ogos 2012

DAP satu ancaman kepada umat Islam

KUALA LUMPUR 9 Ogos - DAP boleh menjadi satu ancaman kepada umat Islam di negara ini kerana pemimpinnya secara terang-terangan menolak pemerintahan Islam.
Penasihat Madrasah Bab al-Khausar, Shahbudin Embun berkata, sehubungan itu, umat Islam wajar menolak sepenuhnya parti itu kerana ia bukan sahaja mengancam malah, boleh dianggap musuh kepada umat Islam.
"Parti itu perlu ditolak secara total. Kita tidak boleh berkompromi kerana apabila dikaji dasar perjuangannya iaitu Malaysian Malaysia, mereka mahukan negara sekular yang non-Islamik.
"Maka, kita umat Islam tidak boleh menyokong parti seperti itu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan beberapa tokoh agama mengenai hukum orang Islam menyokong parti bukan Islam yang secara terang-terangan menyatakan tentangan terhadap penubuhan negara Islam dan hukum hudud.
Shahbudin berkata, walaupun Malaysia mengamalkan pemerintahan bercorak demokrasi yang mengikut acuan Barat, pada hakikatnya ia masih sebuah negara Islam sejak dahulu lagi.
Katanya, umat Islam juga wajar kembali kepada al-Quran bagi merujuk isu berhubung menjalinkan hubungan dengan orang bukan Islam yang menolak Islam, bagi mendapatkan penjelasan yang lebih mendalam.
Sementara itu, Mufti Negeri Sembilan, Datuk Yusof Ahmad berkata, umat Islam pada dasarnya tidak boleh menjadikan orang bukan Islam yang menolak agama itu secara terang-terangan sebagai rakan kerjasama terutama di dalam politik.
Katanya, ini kerana al-Quran dengan jelas sudah menyatakan mengenai perkara itu.
"Secara umumnya orang yang menolak Islam tidak boleh dijadikan rakan bukan sahaja dalam politik tetapi dalam apa-apa hal sekalipun," katanya.
Pendapat itu turut disokong pendakwah bebas, Zainal Abidin Yahaya yang berkata, umat Islam wajib menolak golongan kafir yang secara jelas tidak menerima ajaran Islam.
"Tidak perlu tunggu DAP atau sesiapa pun membuat pelbagai kenyataan bahawa mereka tolak Islam, baru umat Islam mahu menolak mereka.
"Ini kerana sudah jelas mereka menolak negara Islam. Kita kena tentang golongan seperti itu," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 10/8/12 

Tiada ulasan: