KOTA BHARU 22 Ogos - Pemimpin tertinggi DAP
terutama Penasihatnya, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agungnya, Lim Guan
Eng diminta supaya mengeluarkan kenyataan berhubung pendirian rasmi
parti itu mengenai pelaksanaan syariat Islam di negara ini seperti hukum
hudud.
Timbalan Ketua Pemuda Pas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz berkata, kenyataan itu amat penting bagi memperbetulkan persepsi rakyat
selepas beberapa siri kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang menolak
hukum hudud dan negara Islam.
Beliau berkata, pada masa yang sama, kepemimpinan tertinggi DAP juga
perlu memberi nasihat kepada Karpal supaya berhenti daripada terus
membuat kenyataan tersebut kerana ia akan menjejaskan hubungan dalam
pakatan pembangkang.
"Kita minta pemimpin DAP tidak kira siapa (Kit Siang atau Guan Eng)
membuat kenyataan, paling tidak orang tahu DAP menolak kenyataan Karpal
dan yang penting rakyat tahu DAP menjaga hubungan dalam pakatan.
"Saya setuju dengan kenyataan Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan (yang
membidas Karpal). Kenyataan Karpal boleh menimbulkan andaian bahawa
seolah-olah DAP tidak menjaga pengundi Melayu, seolah-olah DAP tidak
kisah langsung sedangkan sudah pasti ia tidak betul mana ada parti tidak
mahu undi rakyat.
"DAP perlu menasihati Karpal seperti juga Pas apabila pemimpin Pas
buat kenyataan bercanggah dengan semangat pakatan mereka akan diberi
nasihat macam Datuk Dr. Hasan Ali dan Nasharudin Md Isa," katanya kepada
Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan
Nasrudin yang mendakwa Karpal semakin keterlaluan apabila
merendah-rendahkan dan mempertikaikan keupayaan hukum hudud mengatasi
jenayah.
Nik Abduh berkata, kenyataan Karpal sememangnya keterlaluan kerana
beliau telah menyentuh dasar perjuangan dan tidak menghormati Pas.
"Semua benda beliau hendak sentuh, pelaksanaan syariat Islam adalah
mendasari perjuangan Pas. Dasar perjuangan parti pembangkang lain memang
banyak perkara tidak setuju sebab dasar yang berbeza, DAP tidak setuju
dengan Pas, Pas tidak setuju dengan DAP, DAP tidak setuju Parti Keadilan
Rakyat (PKR) tetapi kita diam dahulu kerana kita mahu fokus untuk
berjuang menegakkan keadilan dan menghapuskan kezaliman.
"Jadi pada pandangan kami, Pas telah melaksanakannya, kita tidak
sentuh dasar PKR dan DAP, jadi sepatutnya ia juga diraikan oleh Karpal,
memang benar hanya Karpal sahaja dalam DAP yang membuat kenyataan
menolak hudud tetapi oleh kerana beliau adalah Pengerusi DAP maka orang
nak tahu kedudukan yang sebenar," katanya.
Ditanya apakah Pas perlu mengambil tindakan tegas sekiranya Karpal
terus membuat kenyataan menolak hudud, beliau berkata itu terserah
kepada kepemimpinan pusat parti itu.
Sementara itu, dalam laman sosial facebooknya, Nik Abduh berkata,
biarpun berhak untuk bersuara atas nama kebebasan, Karpal tidak
sepatutnya memanaskan isu-isu yang 'setuju untuk tidak bersetuju'
seperti mana hak kesepakatan dalam pakatan pembangkang.
"Sama ada kritikan beliau itu adalah atas premis mempertahankan
sekularisme negara, atau jahil, atau keras pedal, atau anti Islam, semua
itu mendorong kepada andaian bahawa DAP tidak mesra agama Islam dan
undi Melayu.
"Saya hairan, orang sehebat Karpal masih menari mengikut rentak yang
UMNO dan Barisan Nasional (BN) mahukan? Secara peribadi jika saya
pengundi di kawasan beliau, saya tidak perlu berfikir dua kali untuk
tidak mengundi beliau walaupun saya akan mengundi selainnya yang tidak
sepertinya yang mungkin menggantikan beliau," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 22/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan