27 Ogos 2012

Karpal tidak layak bercakap tentang hudud

KUALA LUMPUR 21 Ogos - Pengerusi DAP, Karpal Singh tidak layak mengeluarkan sebarang kenyataan tentang hukum hudud kerana beliau tidak memahami undang-undang Islam itu secara mendalam.
Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahaya berkata, Ahli Parlimen Jelutong itu juga tidak sepatutnya mencampuri urusan berkaitan agama Islam di negara ini.
"Adalah mustahil bagi Karpal untuk memberi ulasan atau kritikan terhadap perkara yang beliau sendiri tidak faham.
"Pada pandangan saya, Karpal melakukan kesilapan yang besar apabila memberi pandangan tentang hukum hudud," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambah Aminuddin, Pas sepatutnya memainkan peranan memperjelaskan kepada pemimpin-pemimpin DAP tentang hasrat parti itu melaksanakan hukum hudud.
"Memandangkan Pas gagal menjalankan peranannya secara berkesan, kini tanggungjawab itu terpaksa dipikul oleh kita semua khususnya pertubuhan bukan kerajaan Islam," ujarnya.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad berkata, Karpal sepatutnya mengambil inisiatif meneliti dan mempelajari semua aspek berkaitan hukum hudud sebelum mempertikaikannya.
Katanya, Karpal juga perlu melihat sama ada undang-undang moden yang diimport dari negara barat mampu mencegah jenayah.
Menurut Ismail Mina, keengganan Karpal berkompromi dengan hasrat Pas untuk melaksanakan hukum hudud menimbulkan persoalan kerana parti tersebut mendakwa telah mengadakan perbincangan dengan DAP berhubung isu berkenaan.
/hwa: utusan.com.my | 22/8/12 

Tiada ulasan: