Najib Tun Razak menerima pelukan
daripada salah seorang penerima tawaran untuk menunaikan fardu haji pada
majlis penyampaian surat tawaran program khas Yayasan 1MDB itu kepada
imam dan pengerusi JKKK yang terpilih di Seri Perdana, Putrajaya,
semalam. - UTUSAN/Zaki Amiruddin
*****
PUTRAJAYA 27 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak hari ini menyerahkan surat tawaran menunaikan fardu haji
kepada 200 imam dan 200 pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan
Kampung (JKKK) di bawah program khas haji tajaan Yayasan 1Malaysia
Development Bhd. (1MDB).
Ini merupakan kumpulan kedua selepas kumpulan pertama seramai 111
imam dan pengerusi JKKK menerima tajaan itu pada 19 September tahun
lalu.
Kesemua jemaah haji berkenaan dijadual berlepas ke Madinah dari
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 22 September ini
dan akan berada di Tanah Suci selama 47 hari.
Najib dalam ucapannya pada majlis penyerahan surat tawaran itu
berkata, adalah wajar untuk kerajaan menggunakan sebahagian daripada
sumber pendapatan dan kekayaan yang dijana oleh kepimpinan hari ini bagi
tujuan mulia.
Perdana Menteri berkata, tidak ada tujuan yang lebih baik, selain
daripada kerajaan dapat menghulurkan bantuan kepada para imam dan ketua
kampung seluruh negara untuk menunaikan haji.
"Berdasarkan kepada kesan yang saya sendiri saksikan ketika
menunaikan haji pada musim lalu, betapa besarnya impak program itu
kepada 111 orang imam dan ketua kampung yang terpilih.
"Maka pada musim haji kali ini, saya berniat kalau ada rezeki, kita
akan lonjakkan lagi jumlahnya daripada 111 kepada 400 orang lagi untuk
dimasukkan dalam program itu," katanya.
Najib berkata, usaha tersebut bertepatan dengan landasan dan prinsip Maqasid Syariah yang diperjuangkan oleh kerajaan sekarang.
Beliau berkata, ini sejajar dengan matlamat supaya agama Islam di
negara ini dilihat sempurna dari segi ketinggian, kemuliaan, tauhid,
akhlak dan pentadbiran.
"Kalau kita lihat apa yang dilakukan oleh kerajaan selama ini, itulah
sebenarnya landasan dan prinsip yang kita pegang dan contohnya, dalam
rukun Islam kelima, kita pastikan pentadbiran urusan haji adalah terbaik
di dunia kerana kita berpegang kepada prinsip yang saya sebutkan tadi,"
katanya.
Perdana Menteri turut memuji kemampuan Lembaga Tabung Haji (Tabung
Haji) menguruskan jemaah dari negara ini dengan cemerlang sehingga mampu
menjana keuntungan yang baik setiap tahun.
Beliau berkata, keuntungan itu bukan untuk membayar dividen kepada
pelabur semata-mata tetapi Tabung Haji telah melakukan tugas melebihi
tanggungjawab sepatutnya dengan memberi setiap jemaah haji subsidi
hampir RM5,000 seorang.
"Berbanding dengan negara lain, inilah bayaran yang paling rendah
melainkan mereka yang pergi secara musafir sehelai sepinggang," katanya.
Menerusi program kali ini, Tabung Haji menyediakan subsidi sebanyak RM2 juta manakala 1MDB pula menyumbang sebanyak RM4 juta.
"Inilah yang dikatakan Islah dalam Islam. Islah adalah roh kepada
agenda transformasi negara yang sedang diperjuangkan oleh kerajaan
sekarang.
"Lagi cepat kita lakukan proses transformasi Islah itu, maka lebih
berjaya agenda tersebut dan juga lebih besar rahmat dan nikmatnya," ujar
beliau.
Beliau turut menyeru jemaah haji yang terpilih dalam program itu agar
memanjatkan doa untuk negara, umat Islam serta rakyat Malaysia yang
lain semasa mengerjakan haji di Tanah Suci.
/hwa: utusan.com.my | 28/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan