Nasharudin Mat Isa melambai tangan
kepada jurugambar sebelum meninggalkan perkarangan Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) setelah tiba dari Jeddah, baru-baru
ini. - BERNAMA
*****
NAMPAKNYA, ia menjadi satu 'dosa politik' yang besar apabila seorang
pemimpin parti politik duduk bergambar dengan seorang pemimpin yang
berbeza aliran politik.
Dosa politik ini pantas menjadi polemik apabila dilanjutkan dengan
pelbagai tekanan demi tekanan, mendesak seorang bekas Timbalan Presiden
parti 'Islam' menjelaskan apa sebenarnya yang sedang berlaku.
Demikianlah bagaimana aura ketaksuban politik boleh menyebabkan manusia
menjadi emosional dan tertekan.
Tekanan demi tekanan diberikan kepada Nasharuddin Mat Isa (Ahli
Parlimen Bachok) untuk memperjelaskan tindakannya dalam pertemuan para
ulama di Mekah bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Rupa-rupanya dalam fahaman politik Pas, menyertai pertemuan dengan
ulama ini menjadi dosa politik yang boleh sahaja membawa kepada kematian
awal politik kepada pemimpin tertentu. Ghairah dengan kononnya budaya
politik tinggi 'tahaluf siyasi', yang membenarkan kerjasama dengan
gerakan yang tidak bermatlamatkan Islam - Pas 'menjerat' YB Nasha dengan
isu ini.
Malangnya, dek kerana tekanan kepada isu ini, banyaklah respons yang
sebenarnya menampilkan Pas sebagai parti yang jumud, tidak terbuka
kepada perbezaan pandangan dan meletakkan 'batas mutlak' kepada sebarang
kerjasama dengan kerajaan. Apakah ini budaya politik yang Islamik dan
terkehadapan sifatnya?
Paranoia Pas kepada gambar YB Nasha bersama Perdana Menteri ini boleh
dilihat melalui nilaian beberapa tajuk utama portal berita media baru
yang ada beberapa hari ini: Malaysiakini (Hanya musuh gembira dengan
kenyataan Nasha, Nasha patut berani berdepan dengan Majlis Syura, Nik
Aziz: Lebih baik Nasha keluar Pas, Nik Aziz nafi gesa Nasha keluar Pas);
Harakahdaily (Pemuda Pas Kelantan minta Nasharuddin lepas MP Bachok),
Selangorku (Kecewa tidak bergabung dengan UMNO punca Nasharuddin Minta
Pas Keluar PR: Khalid Samad).
Nyata, Pas kurang bersetuju dengan sikap politik berkawan,
bersahabat, berdiskusi dan berbincang dengan UMNO. Kalau menurut kepada
analisis pimpinan Pas kepada isu YB Nasha ini - bertemu dengan pimpinan
UMNO menjadi 'dosa politik'; namun berkawan dengan DAP akan menjadi 'pahala berpanjangan' yang boleh menzahirkan matlamat Pas untuk ke
Putrajaya.
Inilah ideal politik yang cuba dibawa oleh Pas ke penjuru-penjuru
kampung bagi menerangkan hubungan luar biasa akrab antara parti Islam
dan gerakan politik sosialis DAP tersebut.
Yang mungkin memerangkap Pas adalah apabila Nasharuddin secara jelas
menyatakan bahawa perbincangan yang dilakukan di Mekah adalah berkenaan
isu-isu yang jauh lebih besar daripada isu Pas-UMNO. Isu Syria. Isu
Rohingya. Apakah menjadi 'dosa politik' untuk isu yang bersifat umatik
ini diperbincangkan antara pimpinan pelbagai parti?
Antara Ta'aruf dan Tahaluf
Mungkin sebelum Pas beria-ia mempertahan konsep 'tahaluf siyasi',
parti itu perlu mendalami satu lagi amalan baik dan positif, iaitu -
ta'aruf. Ta'aruf dalam Islam bermaksud berkenal-kenalan antara satu sama
lain. Kelompok manusia yang tidak menghayati konsep asas ta'aruf ini
umpama haiwan liar yang sentiasa bermusuhan dan tidak mengenal erti
perkenalan dan persahabatan.
Dalam Islam, ta'aruf adalah ibadah. Orang yang mengamalkan ta'aruf dilihat mematuhi tuntutan syara'.
Apakah tidak wujud langsung di bawah radar politik Pas untuk
mendahulukan konsep ta'aruf yang lebih positif dan akrab antara parti
politik yang menjaga kepentingan Islam dan bangsa? Apakah tidak ada
langsung ruang untuk mendahulukan 'taa'ruf' berbanding tahaluf?
Justeru, di mana letaknya semangat ukhuwah dan kerjasama erat sesama
Islam yang boleh dizahirkan dengan hubungan yang lebih positif antara
Pas dan UMNO.
Sejujurnya, ramai masyarakat Islam di luar sana, yang mahu
menyaksikan takat interaksi Pas-UMNO yang lebih luas dan positif. Tidak
ada maknanya kita berpolitik dengan kaedah 'zero-sum game' sekiranya ia
tidak mendatangkan sebarang impak positif kepada perkembangan syiar
Islam dan ekonomi umat dalam erti kata yang sebenarnya.
Sikap politik yang meminggir pandangan politik sederhana dan
mendahulukan kepentingan 'ta'aruf' ini tidak mendatangkan sebarang
kebaikan kepada umat. Jurang interaksi politik Pas-UMNO inilah yang
mengecewakan kalangan rakyat yang mahu melihat semangat politik yang
lebih positif dan tidak bersifat menghukum.
Ya, mungkin sahaja Pas dan UMNO berbeza pandangan dalam isu dasar dan
polisi; namun ia tidak sama sekali perlu jatuh kepada tahap saling
membenci.
Nasharuddin sebenarnya membawa imej politik sederhana yang sangat
menyenangkan banyak pihak. Berbeza bahtera politik tidak semestinya
membuatkan beliau tidak perlu memberikan sebarang sumbangan kepada isu
yang lebih besar dan umatik sifatnya. Ini adalah pendirian politik yang
sangat afdal - berbanding dengan faham politik yang membudaya semangat
kebencian.
Pas perlu berfikir banyak kali sebelum mengambil tindakan yang
terlalu mendadak kepada kalangan ahli yang mengambil pendekatan politik
yang sederhana seperti ini.
Parti tersebut akan kelihatan seperti parti yang regresif dan tidak
membenarkan perbezaan pandangan jika tindakan diambil kepada suara-suara
wasatiyyah yang ada di dalam parti tersebut.
Hukuman Politik?
"Setelah mempertimbangkan segala pandangan yang diberikan oleh
ahli-ahli jawatankuasa Pas Pusat dalam mesyuarat yang diadakan pada hari
ini, Pas Pusat telah membuat keputusan berdasarkan Fasal 82(9) iaitu
memecat keahlian Datuk Dr. Hasan Mohd. Ali sebagai ahli Pas berkuat
kuasa serta-merta."
Keputusan ini dibuat berdasarkan kepada tindakan-tindakan Hasan yang
menyalahi dan merugikan kepentingan parti sebagaimana yang diperuntukkan
dalam Perlembagaan Pas.
Apakah Presiden Pas akan mengeluarkan tindakan sama kepada
Nasharuddin kali ini? Biarlah Pas yang membuat keputusan. Namun, secara
umum, jika tindakan sama diambil, imej Pas akan terjun dengan teruk
kerana tidak sama sekali menggambarkan jiwa besar dalam menerima
perbezaan pandangan. Adab al-ikhtilaf (adab berbeza pandangan) dalam Pas
akan dengan sendirinya diragui oleh banyak pihak.
PENULIS ialah pemerhati sosio politik.
/hwa: utusan.com.my | 28/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan