BEBERAPA minggu kebelakangan ini polemik mengenai hudud dan negara
Islam kembali hangat diperkatakan. Isu ini bermula apabila Ketua Pemuda
Pas ,Nasrudin Hassan Tantawi dalam perdebatannya pada 19 Julai lalu
dengan Ulama Muda UMNO Fathul Bari Mat Jahaya, mendakwa bahawa Karpal
Singh dan DAP sejak bersama Pas sudah berubah sikapnya dan semakin lunak
kepada idea perjuangan Pas mengenai hudud dan negara Islam.
Namun kenyataan Nasrudin bagaikan menyergah harimau sedang tidur
apabila dengan pantas disanggah Karpal yang juga Pengerusi DAP,
menekankan bahawa pendiriannya dan DAP tetap tegas menentang sebarang
usaha untuk melaksanakan hudud. Beliau juga turut menegaskan bahawa
agenda negara Islam tidak pernah dibincangkan mahupun termaktub dalam
terma-terma persepakatan Pakatan Rakyat yang hari ini mempopularkan
istilah Negara Berkebajikan.
Hakikatnya umum maklum bahawa DAP sebagai parti sekular amat
konsisten sejak dari dulu sehingga kini tidak pernah berkompromi dengan
ideologi perjuangan Islam. Malah ketika Pas bersama UMNO dan parti-parti
komponen lain dalam Perikatan pada 1973, DAP kekal sendirian
memperjuangkan ideologinya yang kekal sehingga ke hari ini.
Persoalannya apakah asas sebenar Pas bersama dengan sebuah parti yang
bukan sahaja tegar menentang perjuangan dan prinsip-prinsip kenegaraan
Islam bahkan konsisten sejak dulu tidak berkompromi dengan sebarang
agenda hudud dan negara Islam sebagaimana yang menjadi teras
Kalau kita menelusuri hujah-hujah pemimpin Pas termasuk jawapan
Nasrudin Tantawi dalam sesi perdebatannya dengan Fathul Bari, ternyata
Pas sering menggunakan alasan tahaluf siyasi sebagai asas kerjasama
mereka dengan DAP. Tahaluf siyasi bolehlah difahami dengan maksud
kerjasama politik antara orang Islam dengan orang kafir.
Prinsip tahaluf siyasi ini banyak diperdebatkan ulama-ulama silam
dalam disiplin ilmu Islam khususnya siyasah syariyyah atau ilmu politik
Islam. Ia juga termasuk dalam aspek ijtihadi atau perkara-perkara yang
diperselisihkan di kalangan ulama. Hukum asal persepakatan dengan bukan
Islam ini dalam perbincangan siyasah syariyyah adalah al-bara iaitu
berlepas diri daripada perbuatan golongan bukan Islam yang mensyirikkan
Allah dan sebarang pencabulan terhadap hak-hak Allah. Malah sesetengah
ulama mengharamkannya berasaskan beberapa dalil syarak sebagaimana
diungkapkan dalam al-Quran:
Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir
menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan
sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah ia
(mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu
hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak
mereka (yang kafir itu). (Ali-Imran: 28)
Penceramah
Sebenarnya ayat ini jugalah yang seringkali dikumandangkan oleh para
penceramah Pas satu ketika dalam menghujahkan bahawa UMNO telah jatuh
kepada kekufuran lantaran bekerjasama dengan MCA dan MIC dalam membentuk
Perikatan dan Barisan Nasional. Namun sejak akhir-akhir ini ayat
seperti ini tidak lagi kedengaran dibacakan lantaran mereka sendiri kini
membentuk pakatan dengan bukan Islam demi menjatuhkan Barisan Nasional
dalam pilihan raya.
Sebab itulah kita harus berhati-hati dalam menghukum sesuatu perkara.
Setiap ayat al-Quran yang dibaca tidak boleh sewenang-wenangnya
ditafsir dan dijadikan hujah bagi memenuhi selera politik masing-masing.
Harus difahami konteks ayat yang dibacakan terutamanya yang melibatkan
hukum-hakam. Apatah lagi melibatkan aspek ijtihadi yang berkaitan siasah
yang banyak terkait dengan pelbagai prinsip-prinsip fikah seperti
mengambil kira kemaslahatan rakyat, kemudaratan, keadilan dan lain-lain.
Berbalik kepada isu kerjasama politik atau kaedah tahaluf siyasi,
ulama fikah hakikatnya mempunya pandangan yang berbeza-beza mengenai
hukumnya. Ada yang secara tuntas mengharamkannya dan ada pula yang
mengharuskannya dengan syarat-syarat yang amat ketat.
Antara yang mengharuskan termasuklah pandangan ulama-ulama daripada
Mazhab Hanafi seperti yang mengatakan bahawa tahaluf adalah termasuk
dalam urusan pemerintah yang perlu mematuhi beberapa syarat ketat
antaranya hukum Islam yang mendominasi, bekerjasama dengan orang kafir
yang boleh dipercayai, tidak boleh menjadikan mereka berada di barisan
hadapan dan hendaklah dalam persepakatan tersebut umat Islam yang
menjadi majoriti.
Jika ditelusuri syarat-syarat yang digariskan dalam prinsip tahaluf
siyasi sebagaimana ditetapkan oleh ulama yang mengharuskannya, ternyata
kerjasama Pas dan DAP masih boleh dipertikaikan keabsahannya. Manakan
tidak, jika syarat dominasi dijadikan kayu ukur, berasaskan komposisi
kerusi yang dimenangi Pas dalam Pakatan Rakyat, Pas hanya mempunyai 22
kerusi daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen ketika ini.
DAP adalah parti dominan kerana memiliki 29 kerusi Parlimen dan PKR
kedua dengan memenangi 23 kerusi Parlimen. Justeru Pas sebagai parti
yang membawa aspirasi Islam bukanlah merupakan parti majoriti.
Sebaliknya DAP selaku parti sekular yang jelas dan konsisten menentang
hudud dan konsep Negara Islam dari dulu sehingga ke hari ini merupakan
parti majoriti yang mempunyai suara dominan dalam kerjasama politik atau
tahaluf siyasi Pakatan Rakyat.
Ini berbeza sama sekali dengan UMNO sebagai parti Melayu Islam yang
masih menjadi teras persepakatan parti-parti dalam Barisan Nasional.
Dalam Pilihan raya Umum ke-12 lalu, UMNO memenangi 78 kerusi dan
merupakan parti dominan dan majoriti dalam Barisan Nasional yang
memiliki 137 kerusi Parlimen. Parti MCA yang mewakili kaum Cina hanya
mempunyai 15 kerusi, manakala MIC yang mewakili India empat kerusi.
Lain-lain parti komponen berkongsi
Mungkin berpijak atas hakikat inilah DAP seolah-olah dilihat berjaya
melunakkan Pas untuk tidak lagi menyebut mengenai hudud bahkan turut
berjaya merubah agenda perjuangan Pas daripada memperjuangkan slogan
negara Islam kepada Negara Berkebajikan. Malah Presiden Pas, Hadi
sendiri terpaksa menerangkan bahawa Negara Islam tidak pernah disebut
dalam al-Quran. Bahkan ketika beliau diberi peluang oleh Allah untuk
menjadi Menteri Besar Terengganu dari tahun 1999 hingga 2004, pernah
menyatakan pada 6 Mac 200 bahawa keutamaan melaksanakan hudud hanyalah
0.0001 peratus atau 1/10,000 sahaja.
Prinsip
Pastinya kenyataan dan sikap Pas yang tampak sudah berubah dan
longgar dalam mempertahankan prinsip perjuangannya selama ini
membingungkan ramai pihak. Apakah dakwaan pemimpin Pas yang berkali-kali
mengatakan kehadiran mereka dalam Pakatan Rakyat berjaya mendakwah
pemimpin-pemimpin bukan Islam seperti Karpal Singh, Lim Kit Siang dan
lain-lain benar-benar suatu realiti atau omongan kedai kopi?
Ataupun yang kena dakwah sebenarnya adalah Pas sendiri yang kelihatan
sudah meleburkan segala idealisme perjuangan mereka yang dilihat begitu
keras suatu ketika sehinggakan ramai di kalangan pengikut yang menjadi
mangsa ketaksuban hingga sanggup menggadaikan nyawa dan harta demi
perjuangan.
Bukan itu sahaja kekerasan memperjuangkan hudud dan konsep negara
Islam acuan Pas jugalah yang seringkali menjerumus umat ke dalam kancah
kafir-mengkafir yang merungkai pertalian ukhuwah dan meleburkan
perpaduan umat Malaysia berpuluh tahun lamanya. Masih terngiang-ngiang
di telinga penulis mengingatkan ucapan-ucapan para pencacai Pas
membacakan beberapa potongan ayat terpilih al-Quran yang menjadi silibus
doktrin politik para ahli dengan menghukum UMNO sebagai kafir atas
dakwaan menolak hudud seperti:
Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Agama Islam
secara keseluruhannya (dengan mematuhi segala hukum-hukumnya); dan
janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu
musuh bagi kamu yang terang nyata".
Dan barang siapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah
diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah
orang-orang kafir" (Al-Maidah:44).
UMNO hakikatnya tidak pernah menolak Islam ataupun mana-mana hukum
yang ditetapkan syarak sebagaimana tuduhan Pas. Namun dalam konteks
pelaksanaanya terutama berhadapan dengan realiti masa kini harus melalui
proses beransur-ansur atau istilah syaraknya tadarruj yang mengambil
kira pelbagai pertimbangan strategik dari segi keperluan, kemampuan dan
kesediaan. Ini termasuklah mempersiapkan masyarakat untuk bersedia
menerima perubahan sama ada dari segi mental atau psikologinya.
Hal ini juga diperakui kini oleh pimpinan-pimpinan Pas yang mulai
menggunakan hujah yang sama dalam mempertahankan sikap dan pendekatan
mereka yang tidak lagi mengarus perdanakan slogan negara Islam dan
hudud.
Cuma apa yang penulis kesali, masih ada pendukung-pendukung Pas di
akar umbi yang masih dikaburi dengan slogan-slogan perjuangan Pas dulu
kala sehinggakan masih bersikap keras terhadap UMNO dengan berpegang
kepada hujahan yang sama. Malah, Pas kadangkala dilihat tidak berlaku
jujur terhadap pendukungnya dengan memberikan pelbagai harapan palsu
untuk terus bersekongkol dengan parti yang jelas menentang Islam.
/hwa: utusan.com.my | 12/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan