NAJIB Tun Razak bersama Abdul Taib
Mahmud menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada anak-anak yatim pada
Majlis Berbuka Puasa Bersama Perdana Menteri di Kuching, Sarawak, malam
tadi. - UTUSAN/AMIR HAFIZ ABD RAHMAN
*****
KUCHING 10 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak
menegaskan kejayaan ratu sukan terjun negara, Pandelela Rinong Pamg
meraih pingat gangsa di Sukan Olimpik 2012 awal pagi ini wajar
diteladani rakyat negara ini.
Perdana Menteri berkata, gadis Bidayuh berusia 19 tahun itu telah
membuktikan kejayaan di pentas dunia bukan perkara mustahil walaupun
berfizikal kecil.
Katanya, apa yang penting ialah semua pihak perlu ada kekuatan dan bekerja keras untuk mencapai kejayaan.
"Pagi tadi saya dan isteri bangun untuk sahur dan kami mendapat
berita seperti rakyat Malaysia lain bahawa seorang anak Sarawak mencipta
sejarah untuk negara kita.
"Pandelela Rinong seorang keturunan Bidayuh mendapat pingat gangsa
dalam acara 10 meter platform individu, kita tengok pada saiz badannya
kecil sahaja tetapi semangatnya besar.
"Ini menunjukkan kita boleh berjaya di pentas dunia sekalipun, dengan syarat kita mesti bekerja kuat," katanya.
Beliau berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Perdana Menteri di
Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini petang ini.
Hadir sama, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Ketua Menteri, Tan
Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri, Puan Sri Ragad Kurdi Taib; Timbalan
Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang, pemimpin kanan negeri dan
kira-kira 1,000 tetamu jemputan.
Mengulas lanjut, Najib berkata, bekerja keras dalam konteks seorang atlet ialah mereka perlu berlatih dengan tekun.
"Kita tengok dalam televisyen, penampilannya hanya sekejap, dalam
beberapa saat sahaja dia terjun. Tetapi untuk sampai ke tahap kecekapan
itu memerlukan kita bekerja kuat," katanya.
Sementara itu, sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching
lewat petang ini, Najib meluangkan masa bertemu dengan bapa ratu terjun
negara tersebut, Pamg Joheng, 46.
Beliau dilihat bersalaman dengan Pamg dan mengucapkan tahniah di atas kejayaan Pandelela mengharumkan nama negara.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin
turut menggunakan laman Twitter beliau untuk menyatakan kebanggaan
berikutan kejayaan penerjun negara tersebut.
"Tahniah dan syabas Pandelela kerana meraih pingat gangsa untuk negara! Anda membuatkan kami bangga!" katanya.
/hwa: utusan.com.my | 11/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan