Sepanduk yang digantung kerajaan Pas
Kedah yang memilih menggunakan tema Terus Berbakti berlainan dengan
tema yang digunakan Kerajaan Pusat dengan Janji Ditepati di Alor
Setar, baru-baru ini.
*****
AKHIRNYA pakatan pembangkang yang terdiri
daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas membuat keputusan
untuk menggunakan tema hari kemerdekaan sendiri.
Ia bermakna di negeri-negeri yang dikuasai oleh mereka iaitu Kedah,
Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan, pembangkang tidak akan menggunakan
tema peringkat nasional iaitu 'Janji Ditepati'.
Sebaliknya mereka akan menggunakan tema yang kononnya diputuskan
secara sebulat suara dan atas pakatan bersama iaitu 'Sebangsa, Senegara,
Sejiwa'.
Bagaimanapun apa yang anehnya, pada mulanya hanya dua negeri yang
diperintah pembangkang mahu menggunakan tema berkenaan iaitu dua 'rakan
karib' PKR dan DAP di Selangor dan Pulau Pinang.
Sementara parti yang dilihat menjadi 'kuda tunggangan' dalam pakatan
pembangkang iaitu Pas di Kedah dan Kelantan menggunakan tema berbeza.
Kerajaan Pas Kelantan memilih 'Menerajui Perubahan' manakala kerajaan Pas Kedah memilih menggunakan tema "Terus Berbakti".
Berikutan pemilihan tema yang berbeza ini, ia membuktikan bahawa
kesepakatan yang kononnya wujud dalam apa yang dipanggil 'Pakatan
Rakyat' hanyalah retorik.
Namun bagi menutupi pekung berkenaan, kepimpinan pakatan pembangkang
akhirnya membuat pengumuman menyatakan kesemua negeri di bawah mereka
akan menggunakan tema yang sama iaitu 'Sebangsa, Senegara, Sejiwa'.
Ia sekali lagi membuktikan bagaimana Pas terpaksa tunduk dengan 'desakan' supaya mengikuti apa yang diputuskan oleh PKR dan DAP.
Sebab itulah biar pun keberatan, Pas Kelantan dan Kedah terpaksa
mengikut tema yang digunakan oleh kerajaan PKR Selangor dan kerajaan DAP
Pulau Pinang.
Mungkin Pas akan berhujah bahawa ia kesepakatan bersama, kalau begitu
kenapakah dari awal lagi keempat-empat negeri tidak sepakat memilih
tema 'Sebangsa, Senegara, Sejiwa' kenapa di Kelantan dan Kedah berbeza.
Inilah akibatnya kalau sudah 'Sekatil, Setilam, Sebantal' tetapi mimpi-mimpi lain.
Apa pun jelaslah dalam isu tema ini, ia bukan sahaja tidak
menunjukkan ketidaksepakatan pembangkang tetapi juga bagaimana Pas
sekali lagi hanya menjadi 'pak turut' tidak mampu memutus dan
melaksanakan apa yang mereka inginkan tanpa mendapat restu PKR dan DAP.
Kalau Pas Kelantan dan Kedah merasakan tema yang mereka pilih adalah
sesuai dan tepat, kenapa perlu mengubah apa yang digunakan oleh
negeri-negeri di bawah PKR dan DAP?
Selain itu, Pas merupakan parti yang paling awal menentang tema
'Janji Ditepati' kerana menganggap ia berunsur politik tetapi bagaimana
pula dengan tema yang dipilih oleh kerajaan Pas Kelantan iaitu
'Menerajui Perubahan' sebelum mereka bersetuju kepada tema 'Sebangsa,
Senegara, Sejiwa'.
Untuk rekod, pada tahun lepas perkataan 'Menerajui perubahan' ini
digunakan oleh kerajaan Pas Kelantan sempena genap 20 tahun kepimpinan
Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Ia tertera dalam risalah program dasar "Membangun Bersama Islam -
Menerajui Perubahan" yang memaparkan 20 fakta mengenai apa yang
dilakukan oleh kerajaan Pas Kelantan di bawah kepimpinan Nik Abdul Aziz.
Malahan 'Menerajui Perubahan' juga adalah sebahagian daripada
manifesto Pas Kelantan dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 iaitu, "Membangun
bersama Islam, menerajui perubahan dan mencapai keberkatan".
Justeru apakah perkataan 'Menerajui Perubahan' ini tidak berunsur
politik? Kenapakah apabila kerajaan memilih 'Janji Ditepati' ia dilihat
bermotif politik?
Jelaslah, tindakan menolak tema 'Janji Ditepati' adalah tindakan
politik pakatan pembangkang untuk menghalang rakyat membuat penilaian
siapa yang menunaikan janji dan siapa pula yang memungkiri janji.
Pakatan pembangkang takut dan bimbang kalau perkataan 'janji' terus
bersemarak serta terngiang-ngiang di kalangan rakyat ia akan menyusahkan
pemerintahan di negeri-negeri mereka kuasai.
Ia memandangkan pakatan pembangkang sebenarnya 'saudagar janji, pemborong mimpi' dan bukanlah menepati janji yang dibuat.
Dalam masa yang sama kita juga ingin bertanya apa bezanya antara tema
'Sebangsa, Senegara, Sejiwa' dengan slogan 1Malaysia yang cukup
'ditakuti' oleh pembangkang.
Bukankah 1Malaysia itu antara lain bertujuan membangunkan rakyat
Malaysia yang bersatu padu dan memastikan semua rakyat hidup dalam
sejahtera?
Selain itu, kita ingin bertanya, apakah tema 'Sebangsa, Senegara,
Sejiwa' ini ada kaitan dengan perjuangan DAP iaitu Malaysian Malaysia
dan hasrat PKR mewujudkan kesamarataan semua kaum.
Malahan kita juga ingin tahu, apa pula pandangan Pas dalam soal
istilah 'Sebangsa' dan 'Sejiwa'. Bukankah Pas tidak suka orang bercakap
soal bangsa kerana dianggap 'assabiyah' dan ada pemimpinnya tidak bangga
menjadi Melayu.
Bagaimana pula dengan istilah 'Sejiwa', kita boleh faham jika ia
merujuk kepada hasrat supaya seluruh rakyat Malaysia sejiwa dan sekata
dalam memajukan negara.
Tetapi dalam kepimpinan pakatan pembangkang sendiri apakah mereka
'Sejiwa', bukankah dalam soal pelaksanaan hukum hudud dan negara Islam
pun ketiga-tiga parti yang bergabung sampai ke hari ini tidak boleh
'Sejiwa'.
Oleh itu bagaimana rakyat ingin 'Sejiwa' kalau mereka melihat
pemimpin yang menyeru mereka berbuat demikian pun masih carca marba.
Seperkara lagi, kalau betul pakatan pembangkang mahu memperjuangkan
'Sebangsa, Senegara, Sejiwa', maka mereka tidak boleh bersekongkol
apatah lagi menyokong pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang dilihat
bersikap perkauman.
Jangan lupa pemimpin pembangkang menyokong pertubuhan haram Hindraf dan menyukai apa yang dilakukan oleh Dong Zhong.
Kita tidak perlu menyatakan apa peranan kelompok-kelompok ini tetapi
pada tahun 2008, Hindraf membantu sebahagian kemenangan pakatan
pembangkang melalui sokongan kaum India.
Kesimpulannya, kita boleh menyatakan tema 'Sebangsa, Senegara,
Sejiwa' hanyalah satu lagi retorik yang menggambarkan sikap hipokrit
pemimpin-pemimpin pembangkang.
Dalam keadaan mereka bergelut dengan pelbagai masalah dalaman dan
luaran parti serta kepincangan yang berlaku di negeri-negeri di bawah
pemerintahan mereka, maka apa yang boleh dipolitikkan, akan
dipolitikkan.
Pembangkang amat memahami dan sudah dihinggapi sindrom pilihan raya,
oleh itu apa sahaja yang kerajaan BN lakukan biar pun ikhlas demi
membantu rakyat dan negara maka mereka akan melihatnya dari sudut
politik.
Justeru tidak perlulah rakyat Malaysia yang selama ini tidak pernah
melihat tema hari kemerdekaan yang berbeza berasa gundah-gulana.
Biarlah pakatan pembangkang dengan sikap mereka kerana itulah bahana
apabila berada dalam 'sekapal' tetapi destinasi yang dituju berbeza,
maka diciptalah pelbagai slogan dan tema kononnya mereka 'Sekepala' biar
pun hakikat semua itu sandiwara.
/hwa: utusan.com.my | 11/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan