KOTA BHARU 31 Julai - Pas tidak pernah meninggalkan cita-citanya
untuk melaksanakan hukum hudud meskipun perkara itu tidak termasuk dalam
kerangka Buku Jingga.
Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah
berkata, Pas tetap memperjuangkan pelaksanaan hukum hudud dan kenyataan
Pengerusi DAP, Karpal Singh yang menentang pelaksanaannya tidak
menghalang cita-cita parti itu.
Malah beliau menyifatkan kenyataan Karpal yang sering mempertikaikan
pelaksanaan hukum hudud bukan perkara pelik dan menyamakannya dengan
tindakan MCA dalam Barisan Nasional (BN).
"Kita hormati pandangan beliau, tetapi pendirian kita, kita akan
tetap teruskan cita-cita melaksanakan hudud mengikut lunas undang-undang
dan perlembagaan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mohd. Amar mengulas kenyataan Karpal yang menyifatkan sebarang cubaan
Pas memperkenalkan hukum hudud di negara ini mencerminkan dengan buruk
niat ikhlas di sebalik apa yang diputuskan di Muktamar Pas tahun lepas.
Karpal berkata, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada
Muktamar ke-57 parti itu Jun tahun lalu secara umum menyatakan tidak ada
disebut negara Islam dalam al-Quran tetapi negara berkebajikan dan
hudud tidak termasuk dalam kerangka dasar bersama pembangkang iaitu Buku Jingga.
Mengulas lanjut, Mohd. Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa
Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Kelantan berkata, pelaksanaan
hukum hudud tidak akan dibuat sebaik sahaja pembangkang menang
sebaliknya dilaksanakan selepas mendapat sokongan majoriti rakyat.
"Untuk Pilihan Raya Umum Ke-13 ini, tumpuan utama kita adalah menjatuhkan BN. Hudud tak ada dalam Buku Jingga dan memang tak bincang, tetapi tak bermakna Pas tinggal cita-citanya," katanya.
"Kita akan teruskan usaha memberikan penjelasan dan penerangan di
kalangan rakyat. Setakat ini, penerimaan rakyat di Kelantan tidak ada
masalah. Kita tak paksa, pelaksanaannya bergantung kepada penerimaan
majoriti rakyat," katanya.
Sementara itu, Musyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika
ditemui di kediamannya di Pulau Melaka, di sini enggan mengulas perkara
tersebut dengan alasan tidak berapa sihat.
/hwa: utusan.com.my | 1/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan