Timbalan Ketua Menteri 1, Mansor 
Othman ditemani Tokongnya, Lim Guan Eng pada sidang akhbar bagi 
membersihkan nama bosnya itu di Komtar, Jumaat lalu. - Gambar ihsan NST
LIM GUAN ENG berada di sebelah timbalan satunya, Mansor Othman dalam 
satu sidang akhbar di Komtar beberapa hari selepas raya baru-baru ini.
Guan Eng memerhati Mansor membuat kenyataan bagi membetulkan kata-kata tersasulnya menuduh dia sebagai cocky dan arrogant. 
Cocky dalam bahasa mudah Melayu bererti bongkak, angkuh dan arrogant juga membawa erti yang sama.
Perkataan itu dikatakan tersembur daripada mulut Mansor dalam satu mesyuarat PKR Pulau Pinang tidak lama dulu.
Guan Eng cukup marah dengan Mansor apabila kisah itu tersebar. Mansor
 menggigil apabila ditegur oleh Guan Eng. Mansor ini cukup dikenali di
 kalangan para pengikut PKR sebagai sedikit penakut. Jiwanya bukan jiwa 
ahli politik. Dia mudah gelabah dan gementar. Itu pasal Guan Eng ambil 
dia.
Kerana takut kerusinya melayang, sebagai mana yang terjadi ke atas 
bekas timbalan kuota Melayu yang terdahulu, Fairus Khairuddin, Mansor 
yang juga bekas pensyarah USM itu terpaksa memperbetulkan kata-katanya. 
Dia menafikan berkata demikian.
Daripada cocky and arrogant, Mansor memanggil Guan Eng sebagai Tokong.
Tokong dalam bahasa Melayu yang mudah difahami bererti Maha Tuan 
Besar, Maha Agung dan macam-macam maha. Senang cakap, apa yang 
dicakap oleh Tokong ini perlu diikuti tanpa bantahan. Kalau tidak 
berdosa, masuk neraka.
Di sebalik sidang akhbar khas itu ada juga ceritanya. Wartawan yang 
terpilih memasukinya (kecuali NSTP, TV3 dan Utusan) bercerita kepada 
rakan-rakan yang tidak terpilih itu. Kononnya, semasa di tengah-tengah 
soal jawab dengan pemberita, Guan Eng tiba-tiba menggamit Mansor untuk 
menghentikan sebentar sidang akhbar itu.
Para wartawan tercengang. Kedua-dua mereka kemudian masuk ke sebuah 
bilik. Tidak tahu apa yang mereka bincangkan. Mungkin Guan Eng mahu 
Mansor cakapkan sesuatu. Seketika kemudian kedua-duanya pun keluar dan 
soal jawab bersambung.
Mansor bercakap apa yang Guan Eng mahukan. Guan Eng bukan cocky dan arrogant, tapi sebaliknya Guan Eng adalah Tokong.
Guan Eng tersenyum puas. Mansor juga terpaksa menggunakan nama Allah dalam sidang akhbar itu untuk mempertahankan bosnya itu.
Saya berdoa kepada Allah untuk memelihara kami, berikan kami 
kekuatan bagi meneruskan perjuangan untuk rakyat," katanya Mansor ketika
 menggulung kenyataan medianya itu.
Mansor, terpaksa akur dengan Guan Eng. Itulah gambaran seorang anak 
jati Melayu cerdik Pulau Pinang, ADUN Penanti dalam Parlimen Pematang 
Pauh yang mempunyai Ph.D.
Siapa kata Guan Eng itu angkuh dan bongkak. Dulu dia menggelar 
dirinya sebagai Khalifah Ar-Rashiddin. Orang Pas pun cukup terpegun 
dengan gelaran itu.
Kini dia adalah Tokong. Tafsirkanlah sendiri
.
/hwa: utusan.com.my | 29/8/12 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan