SEBAHAGIAN penyokong PKR Cabang Batu Arang memegang sepanduk menyokong Barisan Nasional di Selayang, semalam.
*****
SELAYANG 7 Okt. - Kira-kira 300 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR)
Cabang Batu Arang mengumumkan secara terbuka akan menyokong Barisan
Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti, ekoran kegagalan
pemimpin parti itu menyelesaikan pelbagai masalah mereka.
Tindakan tersebut dibuat bagi menunjukkan kekecewaan mereka terhadap
pimpinan parti itu yang gagal menunaikan pelbagai janji sebelum menang
di Selangor pada pilihan raya umum lalu.
Wakil ahli PKR terlibat, David Yap Yoon Keong pula, sejak menjadi
ahli PKR, tiada satu kebaikan pun telah dilakukan oleh pemimpin parti
tersebut di kawasan Batu Arang.
''Saya dari dulu menyokong PKR tetapi sejak menang pilihan raya umum
lalu, pemimpin parti seolah-olah lupa dengan tanggungjawab mereka.
''Sehubungan itu, hari ini saya mengumumkan akan memberi sokongan
kepada BN pada pilihan raya umum akan datang,'' katanya ketika ditemui
dalam majlis menyatakan sokongan kepada BN yang turut dihadiri Naib
Pengerusi MCA Bahagian Selayang, Johnson Ooi Chin Hong di sini hari ini.
Salah seorang ahli PKR terlibat, Chin Yan Tai, 43, memberitahu, dia
kecewa dengan pemimpin PKR yang hanya pandai berjanji bagi meraih undi
tetapi apabila sudah menang terus menghilangkan diri.
''Pilihan raya umum nanti saya tidak akan sokong lagi calon PKR kerana kecewa dengan pemimpin kerajaan negeri sekarang.
''Saya berharap BN akan meletakkan calon yang benar-benar mampu
menyelesaikan beberapa masalah di sini dan bukan sekadar berjanji
kosong," katanya.
Sementara itu, Johnson Ooi yang ditemui juga berasa terkejut dan
bangga dengan tindakan ahli PKR Cabang Batu Arang yang menyatakan
sokongan secara terbuka kepada BN.
''Ini menunjukkan rakyat semakin sedar tentang pembohongan pemimpin
PKR yang selama ini yang jelas tidak mampu mentadbir negeri dengan
baik," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan