KOTA BHARU 7 Okt. - Bajet yang dibentangkan oleh pakatan pembangkang
boleh menimbulkan masalah besar kepada kedudukan kewangan negara
sekiranya ia dilaksanakan.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (gambar)
berkata, penelitian yang dilakukan mendapati bajet yang berkenaan
sebenarnya mengalami defisit lebih besar, bukannya sebanyak 3.5 peratus
sebagaimana yang didakwa.
Malah, kata beliau, sekiranya semua perbelanjaan yang pembangkang
hendak berikan termasuk cadangan menaikkan bayaran tunai kepada
negeri-negeri tertentu, kerajaan akan mengalami pengurangan hasil
kutipan kira-kira RM27 bilion dan ini sudah tentu memberi kesan kepada
kewangan kerajaan.
"Kalau diambil kira semua sekali, sebenarnya bukan 3.5 peratus
defisit bajet mereka, sebenarnya sekitar lapan peratus. Ini sudah pasti
menimbulkan banyak masalah dalam negara.
"Negara-negara yang defisitnya besar seperti Greece, Sepanyol dan
lain-lain sedang berhadapan dengan masalah serius sehingga mereka
terpaksa mengambil tindakan drastik untuk mengurangkan perbelanjaan.
Itulah sebenarnya implikasi bajet pembangkang, bukan defisit 3.5 peratus
tetapi kira-kira lapan peratus dan ini akan menimbulkan masalah serius
kepada kedudukan kewangan kerajaan dan negara," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan
ketua-ketua Jabatan Persekutuan dan anggota Kongres Kesatuan
Pekerja-pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) negeri ini di
sebuah hotel di sini hari ini.
Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha turut hadir dalam kedua-dua majlis tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, Mustapa yang juga Pengerusi Badan
Perhubungan UMNO Kelantan berkata, sesi penerangan mengenai Bajet 2013
akan diperluaskan kerana ia mengandungi banyak manfaat kepada rakyat.
"Bajet 2013 memberi banyak faedah kepada rakyat, sekiranya tidak
diberi penerangan maka ramai yang tidak mensyukurinya," katanya.
Dalam konteks Kelantan kata Mustapa, penerangan akan dilakukan oleh
JPP termasuk melibatkan isu-isu berbangkit seperti pembinaan Jambatan
Sultan Yahya Petra dan pengagihan wang ihsan yang sering dieksploitasi
oleh pembangkang untuk kepentingan politik mereka.
Jelas beliau, secara realitinya Kelantan menerima banyak manfaat
daripada bajet tersebut sama ada melalui projek-projek yang sedang dan
akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan