9 Oktober 2012

DAP Sepang mahu bubar tujuh cawangan - Tuan Tat

TAN Tuan Tat (tengah) bersama sebahagian daripada 50 ahli DAP Cawangan Taman Seri Sungai Pelek, Sepang sepakat membubarkan cawangan itu semalam. 
*****
SEPANG 7 Okt. - Jawatankuasa DAP Sepang mahu membubarkan cawangan parti itu di Taman Sri Sungai Pelek dan menarik kembali permohonan enam cawangan baharu yang sepatutnya ditubuhkan ekoran tidak berpuas hati dengan sikap pucuk pimpinan tertinggi.
Bekas Pengerusi DAP Taman Sri Sungai Pelek, Tan Tuan Tat berkata, enam cawangan baharu yang ditarik kembali permohonan adalah Taman Fermanagh, Teluk Manggis, Sepang Kecil, Taman Kedidi, Taman Sri Bayu dan Taman Sri Sungai Pelek (B) yang keseluruhannya dianggotai kira-kira 400 ahli.
Beliau berkata, pembubaran semua tujuh cawangan berkenaan sudah mendapat persetujuan jawatankuasa serta ahli DAP di kawasan Sepang yang kecewa dengan sikap tidak ambil peduli pucuk pimpinan negeri Selangor.
"Kami belum lagi menghantar resolusi dan minit mesyuarat mengenai pembubaran cawangan ini kepada DAP Malaysia dan kami jangka akan menghantarnya pada minggu depan.
"Mengenai permohonan cawangan baharu yang akan ditarik semula, sebenarnya usaha ini telah tertangguh hampir setahun. Permohonan telah dihantar sejak tahun lepas iaitu Jun, Julai, Ogos dan akhir Oktober tetapi tiada jawapan diberikan," katanya dalam sidang akhbar digelar Demokrasi Mati Dalam DAP Selangor di sini hari ini.
Pada masa sama, Tuan Tat turut meluahkan kekecewaan dengan tuduhan dan fitnah dilemparkan ke atasnya yang sepatutnya tidak berlaku di dalam parti.
"Ada pihak terbabit memfitnah saya dengan mendakwa saya menggunakan 149 kad pengenalan palsu untuk mendaftarkan ahli baharu bagi menubuhkan beberapa cawangan parti di kawasan Sepang.
"Disebabkan itu saya dipanggil lembaga disiplin DAP mengenai perkara ini. Fitnah itu memang tidak masuk akal dan saya sangat kecewa boleh dituduh sedemikian rupa," katanya.
Selain itu, beliau menyifatkan pembubaran cawangan tersebut bakal memberi pengajaran kepada pucuk pimpinan tertinggi DAP supaya tidak melupakan ahli parti di peringkat akar umbi.
"Kami sudah tidak percaya lagi dengan DAP. Bagi pilihan raya akan datang, kami akan memilih pemimpin yang betul-betul mengambil berat terhadap kebajikan rakyat.
"Kuasa mengundi adalah hak masing-masing dan tiada siapa boleh menghalang kami memilih calon pemimpin yang boleh membuat kerja," katanya.

Tiada ulasan: