PERNAHKAH anda menerima soalan secara khusus
tentang tahap penggunaan Twitter. ''Jika anda tidak memiliki akaun
Twitter atau baru membuka akaun, sila nyatakan diri anda sebagai, Baru
Bermula. Jika anda sudah memiliki akaun dan aktif, sila nyatakan diri
anda sebagai, Sudah Arif''.
Termenung juga memikirkannya. Tidak mungkin masuk kategori 'baru
bermula'. Sudah lama ada akaun Twitter. Tetapi hendak mengaku 'Sudah
Arif' pun was-was. Memang ada sahabat yang diistilahkan 'pengikut' atau follower yang telah menjalin komunikasi Twitter mengikut kaedah yang disarankan.
Dalam konteks Twitter saya, secara jujur saya akui belum menguasai
sepenuhnya perbendaharaan kata dan metodologi Twitter. Bermakna saya
belum menggunakan sepenuhnya peluang dan kemungkinan yang wujud dalam
alam Twitter.
Acapkali bila membaca tweet (istilah untuk ayat perutusan) menerusi
telefon bimbit, anda pasti perasan penggunaan perkataan ringkasan yang
terlalu ringkas dan mungkin tidak sama makna dengan ringkasan yang biasa
anda guna. Dalam kebanyakan masa, ringkasan adalah menggunakan Bahasa
Inggeris.
Terdapat lebih 130 ringkasan, perkataan, frasa dan alat untuk tweet.
Apa? Lebih 130!!!... Hendak menghafal nombor telefon kawan pun
terkial-kial, ini hendak mengingat 130 perkara Twitter!
Tetapi percayalah, kebanyakan remaja berusia bawah 25 tahun menguasai
antara 90 hingga 110 istilah dan alat dalam Twitter. Bagi anda yang
berusia melebihi 35 tahun ke atas dan rasa berat hendak mengingat
benda-benda itu (kerana ada benda lebih realistik untuk diingat seperti
menyiapkan tugasan di pejabat, membayar bil dan menghantar anak ke
sekolah): jangan bimbang. Ingat dan guna mana yang berkaitan sahaja.
Lainlah jika anda seorang pengguna Twitter tegar seperti ramai golongan
remaja hari ini.
Sebelum itu, anda kena pilih bagaimana anda hendak menyebut Twitter.
Jika anda sebut cara orang Malaysia, maka sebut 'twit-ter'. Jika rasa
nak pamerkan anda hanya menonton televisyen Hollywood dan tidak pernah
RTM, maka sebutlah gaya Amerika: 'twi-derr'.
Ringkasan asas dalam Twitter yang mesti anda ketahui ialah RT
bermaksud ringkasan daripada ReTweet atau diulang siar. Anda dapati
pernyataan itu menarik, lalu anda RT, supaya orang yang mengikuti anda
boleh pula sama-sama membacanya, dan mungkin melakukan RT juga.
Butang RT memang tersedia pada kotak Twitter.com. Anda juga boleh
memasukkan komen anda menggunakan butang Quote Tweet. Ada cabaran di
sini. Disebabkan had 140 perkataan, komen anda hendaklah diringkaskan.
Atau anda juga boleh ringkaskan pernyataan asal, Cuma waspada tidak
hilang maknanya.
Hash tag bukan istilah tetapi alat simbol #. Ia adalah kaedah anda
menyusun perutusan terkini bagi enjin carian Twitter anda. Simbol #
diguna oleh kumpulan khusus mengikut minat. Misalnya, #LFC adalah khusus
bagi penyokong kelab Liverpool FC dan anda akan dapati penyokong dari
seluruh dunia di situ. Setelah mengutus pernyataan, anda pergi ke enjin
carian Twitter dan taip #LFC.
Istilah
Simbol # juga boleh digunakan untuk memulakan trend. Misalnya
#Merdeka55 yang berjaya mencatat 3.6 juta kali penggunaan semasa 31 Ogos
lalu.
Istilah diringkaskan lain yang penting anda ingat ialah FollowFriday (FF) yang mesti dengan simbol #followfriday. Ia adalah bersifat cadangan iaitu menarik perhatian tentang orang tertentu dalam Twitter.
Direct message (DM): adalah mesej ringkas, yang disediakan fungsinya
dalam Twitter untuk anda menghantar mesej secara terus kepada seseorang.
Ia tidak boleh dibaca oleh pengikut lain. Tetapi orang yang dihantar
hendaklah mengikut anda juga bagi membolehkan DM itu berfungsi.
Di Malaysia, penggunaan Twitter yang semakin meningkat setelah ramai
yang jemu di Facebook, turut mencipta istilah Twitter tempatan. Paling
popular ialah 'retis' atau 'artis'.
Difahamkan, retis bukan merujuk kepada artis sebenar (pelakon,
penyanyi) tetapi kepada perlakuan seseorang yang perasan diri popular
seperti artis. Khabarnya, baru-baru ini ada seorang artis menulis dalam
Twitter membantah penggunaan retis. Difahamkan juga, pernyataan artis
itu diketawakan sebab ia tidak berkaitan dia pun!
Bagi yang sudah arif menggunakan Twitter, mesti ketawakan saya kerana
paparkan perihal istilah di atas. Benar, RT adalah sangat asas.
Seumpama belajar A,B,C tetapi saya tujukan kepada sahabat-handai yang
masih keberatan untuk mengaktifkan akaun Twitter mereka.
Apa keseronokan Twitter, bukankah sudah ada Facebook? Anda
berkomunikasi dengan orang yang anda kenali dalam Facebook (hatta
namanya pun Facebook) dan 'tidak anda kenali' dalam Twitter. Hal ini
demikian kerana penggunaan # atau ringkasan tertentu boleh dibaca oleh
sesiapa sahaja dalam enjin carian Twitter.
Secara umumnya, seseorang itu mengutus tweet semata-mata untuk
mendapatkan perhatian. Sama naiwatu dengan Facebook. Jika anda
menafikannya, elok anda tulis buah fikiran anda dalam diari. Mungkin
dibaca oleh anak cucu suatu hari nanti. Itu pun jika mereka kenal apa
itu 'diari' ketika itu. Jika anda benci jadi perhatian, elok anda
berhenti menggunakan internet sama sekali.
Namun, sekiranya alasan anda lemah dalam Twitter disebabkan 'tidak
tahu nak tulis apa' atau merasakannya bosan (asyik tweet gambar
makanan), sila guna kaedah ini: Ikut (follow) pemilik Twitter yang menarik di hati anda.
Mungkin ada pelawak yang tampil dengan pernyataan kelakar. Misalnya
jenaka ini: ''teman wanita anda berisi? Bantu dia kurus, berjalan 5 km
sehari. Dalam sebulan dia akan 300 km jauh dari anda''.
Jika anda peminat bola, ini paling seronok mendapatkan seberapa ramai
kawan baru Twitter. #LFC yang saya ikuti memberi peluang saya
berkenalan dengan penyokong Liverpool di Amerika Syarikat dan Afrika.
Seandainya anda minat kisah-kisah mitos atau fakta luar biasa (Incredible Facts!),
anda boleh ikuti Twitter ahli silap mata tertentu. Mereka ini pernah
tweet gambar jet eksekutif yang diberi pinjam oleh sahabat tanpa niat
minta balasan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan