1 Oktober 2012

Karpal desak Mansor beri penjelasan

PULAU PINANG 29 Sept. - Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman terus menerima tekanan berhubung kontroversi menggelarkan Ketua Menteri, Lim Guan Eng sebagai angkuh, sombong dan tokong.
Hari ini, Pengerusi DAP, Karpal Singh meminta Mansor yang juga Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri memberi penjelasan yang lebih meyakinkan berhubung isu berkenaan.
"Sebelum ini Mansor menafikan ada menggelarkan Guan Eng sebagai sombong dan angkuh tetapi mengaku mengatakan tokong.
"Bagaimanapun selepas rakaman audio isu berkenaan disiarkan oleh sebuah stesen televisyen tempatan, nada Mansor berubah apabila dia mengakuinya pula. Ini memerlukan penjelasan lanjut daripada Mansor ," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Mansor sebelum ini menafikan beliau mengkritik Setiausaha Agung DAP itu dan mengatakan tidak pernah menyebut perkataan tersebut kecuali tokong yang dianggap sanjungan masyarakat Cina kepada Ketua Menteri itu.
Bagaimanapun selepas rakaman audio itu dimainkan, Mansor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti Khamis lalu mengakui perkara tersebut sambil meluahkan perasaan kecewa kerana telah dikhianati oleh orang dalam PKR sendiri yang menyebarkan rakaman berkenaan.
Dalam sidang akhbar itu, Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor turut mempertahankan Guan Eng dengan menyifatkan tanggapan Mansor sebagai salah.
"Saya kenal Guan Eng sangat lama dan tahu sikapnya. Jadi mungkin kritikan Mansor itu tidak benar dan salah faham.
"Bagaimanapun saya yakin mereka berdua akan menyelesaikan masalah itu secepat mungkin memandangkan Pilihan Raya Umum Ke-13 semakin hampir,'' katanya.

Tiada ulasan: