Abdullah Sa'amah
*****
KOTA BHARU 12 Okt. - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik
Abdul Aziz Nik Mat disifatkan sebagai pemimpin yang keliru dan tidak
faham perkara yang berlaku di sekelilingnya sehingga menganggap DAP
sebagai kawan karib yang tidak pernah menyusahkan Pas.
Pengasas Pondok Geting di Tumpat, Abdullah Sa'amah berkata,
Nik Abdul Aziz seolah-olah lupa bahawa DAP adalah satu-satunya parti
politik yang sangat agresif dalam menentang hasrat Pas untuk
melaksanakan hukum hudud sekiranya pakatan pembangkang memerintah
negara.
Berikutan itu, katanya, sudah tiba masanya untuk Menteri Besar itu
melepaskan jawatan dalam parti sebelum lebih ramai orang Melayu dan
Islam terpengaruh dengan kenyataannya.
"Macam mana tidak menyusahkan bila Pas nak tegakkan hukum Islam tidak
boleh. Tidakkah itu merupakan penentangan secara terang-terangan oleh
DAP?
"Tidakkah itu namanya menentang Pas? Jadi maknanya Nik Abdul Aziz
sendiri keliru dan tidak faham apa yang berlaku sehingga akhirnya dia
mengelirukan orang lain dan membuatkan mereka juga tidak faham.
"Jadi, kita pakat minta beliau turun jawatan. Bukan kita nak kata dia
sudah tua atau nyanyuk, tapi banyak kenyataannya sekarang memang
menunjukkan dia sudah cukup tua dan keliru," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Abdullah diminta mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz yang menegaskan
Pas akan terus bekerjasama dengan DAP demi mencapai kemenangan dalam
Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti meskipun mendapat tentangan daripada ahli
Pas di peringkat akar umbi.
Nik Abdul Aziz berkata, kerjasama itu penting untuk mendapatkan undi
bukan Melayu, malah beliau turut menganggap DAP tidak pernah memberi
masalah kepada Pas.
Sementara itu, bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas Pusat, Prof. Madya Mohd. Noor Deris
berkata, kenyataan Nik Abdul Aziz itu menunjukkan bahawa beliau semakin
angkuh dalam mengejar cita-cita peribadinya menentang UMNO.
Katanya, Nik Abdul Aziz telah termakan umpan DAP sehingga beliau
melihat kerjasama itu sangat indah dan tidak mempedulikan tentangan yang
ditimbulkan ahli-ahli parti itu sendiri.
"Apabila dia sudah dihasut maka dia melihat diri sendiri seorang yang
paling hebat, jadi apa pun yang orang lain katakan semuanya akan
dibangkang.
"Dia nampak kerjasama itu cantik tetapi sebenarnya dihiasi syaitan.
Tetapi disebabkan sejak dulu dia menentang UMNO jadi sekarang UMNO yang
jahat bukannya DAP," ujar beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan