SHAH ALAM 29 Sept. - Ahli Dewan Negara, Senator Mohamad Ezam Mohd. Noor (gambar) menegaskan,
pemimpin pembangkang hari ini tidak memiliki jiwa besar yang boleh
membawa ke arah penyatuan dalam kalangan umat Islam di negara ini.
Sambil merujuk kepada Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim,
beliau berkata, umat Islam di negara ini tidak seharusnya memberikan
ruang kepada pemimpin tersebut menerajui negara kerana prinsip mereka
dikatakan hanyalah untuk kepentingan diri serta mendapatkan kuasa
semata-mata.
Katanya, jika Nik Abdul Aziz dan Anwar mempunyai agenda untuk
penyatuan ummah, mereka sudah tentu melaksanakan pelbagai usaha
merealisasikannya.
"Mereka pemimpin yang berjiwa kecil dan tidak mempunyai matlamat yang besar ke arah menyatupadukan umat Islam di negara ini.
"Mereka sepatutnya melihat kepada perkara yang lebih besar, bukannya
soal kecil seperti kalah atau menang, ego, mahu berkuasa, tidak mahu
tunduk dan dendam semata-mata, ini kerana semua itu hanya menyukarkan
usaha menyatukan umat Islam," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam program
Himpunan Ke arah Penyatuan Umat anjuran Ikatan Kebajikan dan Dakwah
Selangor (IKDDAS), di sini hari ini.
Program itu turut disertai Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Samsul Adabi Mamat.
Jelasnya, pemimpin Pas hari ini berbeza dengan pemimpin terdahulu
antaranya Allahyarham Tan Sri Dr. Asri Muda dan Allahyarham Datuk Fadzil
Mohd. Noor yang dilihat mempunyai prinsip jelas membabitkan isu
penyatuan umat Islam.
Sementara itu, Dr. Samsul Adabi berkata, Malaysia mempunyai pemimpin
berjiwa besar yang berjaya menyatupadukan ummah dalam sejarah negara
sejak mencapai kemerdekaan 55 tahun lalu.
Namun katanya, situasi hari ini berubah apabila muncul ramai 'cerdik
pandai' termasuk dalam bidang agama yang semakin mengelirukan umat
Islam.
/hwa: utusan.com.my | 30/9/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan