KUALA LUMPUR 10 Okt. - Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas bukanlah
parti Melayu yang boleh dijadikan sandaran untuk masa depan umat Islam.
Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee berkata,
perjuangan kedua-dua parti itu dipenuhi dengan pelbagai kekejaman
politik yang bertentangan dengan amalan demokrasi.
Sehubungan itu katanya, orang Melayu perlu memberikan sokongan mutlak
kepada perjuangan UMNO yang berteraskan semangat nasionalisme
bertunjangkan perjuangan Islam jika ingin memastikan generasi masa akan
datang terjamin hak mereka.
"Tidak ada lagi parti politik Melayu selain UMNO yang telah mencipta
rekod cemerlang dalam mentadbir urus negara ini dengan kuasa dan hak
mutlak orang Melayu terus terjamin dan terbela berasaskan kepada prinsip
Perlembagaan negara," katanya dalam entri terbaru dalam blog http://umnobahagiancheras.blogspot.com.
Syed Ali berkata, UMNO perlu berperanan secara lebih agresif untuk
menyelamatkan masa depan orang Melayu di negara ini khususnya di kawasan
luar bandar daripada diperalatkan oleh pakatan pembangkang menjelang
Pilihan Raya Umum Ke-13 tidak lama lagi.
"Pakatan pembangkang yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim kini
semakin giat mensasarkan tumpuan mereka di kawasan luar bandar dan
pendalaman menerusi ceramah politik memburuk-burukkan kerajaan Barisan
Nasional(BN)," katanya.
Beliau mendakwa, orang Melayu telah disogok dengan fakta-fakta yang
tidak betul di samping penyebaran fitnah terancang oleh pembangkang bagi
menimbulkan persepsi negatif rakyat terhadap pemimpin UMNO.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan