KUALA LUMPUR 30 Sept. - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
hari ini mahu rakyat berwaspada dengan tiga senjata" iaitu kutuk, hasut
dan janji yang digunakan pembangkang untuk memenangi hati mereka.
"Dia mesti kutuk (kerajaan), mereka mesti tentang (kerajaan). Selepas
itu, mereka mesti hasut dan kemudian mereka menabur janji. Seperti yang
saya telah katakan, mereka akan menjanjikan bulan, bintang dan waima
cakerawala," katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional
ke-41 Gerakan di sini, hari ini.
Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata rakyat perlu
berfikir tentang janji-janji manis yang ditabur oleh pakatan pembangkang
yang akhirnya terserlah sebagai racun berbisa buat mereka.
"Adakah ia benar-benar baik untuk rakyat atau akan membawa musibah
kepada negara. Inilah rakyat mesti fikir, sebab nak jadi pembangkang
senjatanya ada tiga - kutuk, hasut, janji," tegas Perdana Menteri.
Najib berkata untuk menjadi pembangkang yang berwibawa dalam sistem
Parlimen, mereka perlu memenuhi beberapa syarat asas, satu daripadanya
ialah menggunakan satu simbol sahaja.
Pendek kata, anda perlu berdaftar sebagai sebuah parti. Tetapi
Pakatan Rakyat bukan berdaftar sebagai sebuah parti atau mereka
mempunyai satu simbol bersama," katanya.
Perdana Menteri berkata BN telah menggunakan satu simbol sahaja,
dengan semua calonnya bertanding di bawah simbol atau lambang BN pada
pilihan raya.
"Kami pergi berjumpa dengan rakyat sebagai BN, tetapi pembangkang
akan pergi berjumpa rakyat dengan simbol berbeza (simbol parti
masing-masing).
"Simbol tak sama...kita tak pasti sama ada mereka akan bentang
manifesto yang sama," katanya dan menurutnya malah pergaduhan berhubung
hukum hudud di kalangan pakatan pembangkang juga telah berlaku secara
terbuka.
Najib berkata ini menunjukkan yang mereka tidak mempunyai pendirian
bersama dan dasar bersama mengenai bagaimana negara ini akan ditadbir
urus, dan ini diperkukuhkan lagi dengan kegagalan pembangkang
mengisytiharkan kabinet bayangan" mereka. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan