1 Oktober 2012

MASIH hangat lagi diperbincangkan sama ada di kedai-kedai kopi mahupun di alam siber pembentangan bajet bagi tahun 2013 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen Jumaat lalu. Bajet yang dicadangkan berjumlah RM251.6 billion tersebut pastinya mengundang pelbagai reaksi yang selalunya terkait dengan kehendak dan harapan yang begitu tinggi dibebankan rakyat terhadap kerajaan. Lebih-lebih lagi ini merupakan bajet terakhir sebelum pilihan raya umum yang perlu diadakan sebelum berakhir sesi Jun tahun depan.
Memanglah sukar untuk menyantuni kehendak dan harapan segenap lapisan anggota masyarakat sebagaimana pepatah Arab menyebut "Untuk memuaskan hati manusia adalah suatu matlamat yang tidak mungkin tercapai". Bagi kakitangan kerajaan yang mendapat durian runtuh berbentuk bonus satu setengah bulan gaji pastinya tersenyum lebar berbanding pekerja swasta yang mengeluh lantaran tidak menikmati ganjaran serupa.
Samalah juga bagi yang berada dalam sektor pertanian dan industri kecil dan sederhana (IKS) yang memperoleh pelbagai bentuk insentif dan peruntukan sedangkan yang berada dalam sektor-sektor perindustrian dan perkhidmatan lain tidak mendapat keutamaan sedemikian. Hakikatnya, bajet hanyalah unjuran perbelanjaan satu tahun berasaskan perolehan yang dijangkakan pada tahun tersebut. Tentunya apabila fokus diberikan pada satu pihak atau sektor dalam satu-satu bajet tidak semestinya pihak-pihak atau sektor-sektor lain dikesampingkan.
Umpamanya, apabila Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) tidak disebut dalam bajet tahun ini setelah memperoleh RM700 juta pada tahun lepas bukanlah bermakna AIM yang amat berkesan mengeluarkan kelompok miskin daripada jurang kemiskinan melalui pembiayaan mikro tidak dipedulikan lagi oleh kerajaan. Sebaliknya setiap bajet pastilah ada fokus tertentu yang akan memberikan keutamaan perbelanjaan pada sektor-sektor yang sudah dikenalpasti untuk diberikan penekanan berasaskan objektif pertumbuhan negara.
Walau bagaimanapun, kerajaan yang prihatin dan merasai denyut nadi rakyat pastinya akan cuba sedaya termampu memenuhi hasrat dan harapan yang disandarkan. Justeru jika kita benar-benar memahami falsafah dan prinsip bajet dalam sistem pengurusan ekonomi negara, kita akan dapati bahawa setiap warga pastinya akan memperolehi manfaat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung daripadanya.
Sebab itulah falsafah kenegaraan dalam Islam atau disebut juga sebagai Siyasah Syariyyah mengutamakan prinsip Maqasid al-Syariah (matlamat syarak) dalam menguruskan harta dan khazanah rakyat berpandukan ayat 7 Surah Al-Hasyr, "Bahawa sesungguhnya harta kekayaan itu tidak harus berlegar dalam kalangan segelintir yang kaya di antara kamu,".
Bersaing
Ayat ini sebagaimana yang diperjelaskan dalam banyak kitab tafsir merupakan satu pengiktirafan Allah terhadap dasar afirmatif yang dilakukan Rasulullah SAW dalam peristiwa pembahagian harta rampasan perang al-fai' bagi menangani masalah ketidakseimbangan ekonomi antara kaum Ansar dan Muhajirin. Malah banyak lagi peristiwa lain yang menunjukkan pendekatan afirmatif Rasulullah SAW yang memberi ruang dan peluang kepada pelbagai kelompok rakyat yang sebelum ini tidak dapat bersaing di atas pandangan yang sama rata.
Semua ini adalah bukti betapa pendekatan afirmatif dalam konteks pengagihan kekayaan bukanlah suatu yang asing bagi Islam bahkan diperakui sebagai tindakan yang menjamin tertegaknya keadilan sosio-ekonomi dalam sesebuah negara dan masyarakat.
Di sinilah juga yang dimanifestasikan melalui Bajet 2013 yang hakikatnya masih memberikan penumpuan pada kelompok bumiputera untuk terus bersaing secara sihat berasaskan meritokrasi iaitu bagi yang benar-benar berkelayakan dan berkemampuan bukannya pilih kasih dan kronisme.
Malah Bajet 2013 juga menyentuh keperluan hampir semua kelompok masyarakat daripada yang berada di desa mahupun di bandar-bandar besar, daripada mereka yang baru melangkah ke alam pendidikan hinggalah yang sudah pencen dan bersara. Individu belia, pekerja kerajaan, swasta hinggalah pengusaha-pengusaha kecil dan sederhana yang sememangnya terkesan dengan peningkatan kos sara hidup yang agak ketara ekoran ekonomi global yang tidak menentu kini. Semuanya mendapat manfaat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.
Apa yang pasti bajet atau belanjawan bukanlah sekadar rutin tahunan yang riuh-rendah tanpa makna dan haluan. Bajet juga tidak wajar ditanggapi sebagai satu bentuk imbuhan bagi memenuhi gelodak nafsu yang hakikatnya tidak pernah mengenal istilah puas. Lebih malang sekali jika bajet hanya dijadikan wahana untuk menabur janji-janji kosong berupa bulan, bintang dan cakerawala bagi mencapai matlamat untuk berkuasa atau menang pilihan raya semata-mata.
Sebaliknya, kerajaan yang bertanggungjawab akan sentiasa mengimbangi antara keperluan jangka pendek rakyat tanpa sesekali menyampingkan kepentingan memacu ekonomi negara bagi kesejahteraan rakyat untuk jangka masa panjang. Sebab itulah, jika diperhatikan dalam bajet kali ini, dalam upaya kerajaan cuba untuk menyantuni segala kehendak dan harapan rakyat yang tinggi, aspek pertumbuhan dan kesejahteraan fiskal tidak sesekali dikesampingkan.
Yang dimaksudkan dengan kesejahteraan fiskal ialah bagaimana kerajaan mampu mengurus segala perbelanjaan negara dengan seimbang dan berkesan berasaskan kemampuan perolehan yang ada tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi mahupun terbelenggu dengan jerat hutang melampau yang membinasakan.
Sebab itulah, dalam pembentangan Jumaat lalu, Perdana Menteri telah memberikan jaminan bahawa komitmen kerajaan bukan sahaja memastikan tahap hutang negara berada pada paras di bawah 55 peratus berbanding Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK) bahkan mengurangkan defisit iaitu jumlah perbelanjaan melebihi perolehan secara berkala daripada 4.5 peratus pada Bajet 2012 kepada 4.0 peratus pada bajet kali ini hinggalah ke paras terendah 3.0 peratus pada 2015.
Malah pelbagai insentif sama ada berbentuk peruntukan kewangan mahupun percukaian diperkenalkan semata-mata untuk merancakkan aktiviti pelaburan domestik, mempergiat perusahaan kecil dan sederhana, merancak sektor pelancongan, mencergaskan lagi sektor pertanian dan perladangan, insentif untuk nelayan, memperkasa pasaran modal dan kewangan dan yang paling utama memulakan projek permulaan (EPP) bagi sektor-sektor utama NKEA. Semua ini terkandung dalam peruntukan berjumlah RM49.7 billion yang konsisten dengan Pelan Rancangan Malaysia Ke Sepuluh (2010-2015) yang memperuntukkan sejumlah RM250 billion untuk dilaburkan dalam aktiviti-aktiviti yang mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.
Gula-gula
Kestabilan fiskal dalam konteks merancakkan pertumbuhan ekonomi, menurunkan defisit dan mengurangkan kebergantungan pada hutang amat mustahak bukan sahaja mengelakkan negara ditaraf dengan penarafan yang negatif oleh badan-badan penarafan antarabangsa bahkan yang lebih penting agar kesenangan yang dikecapi oleh generasi hari ini tidak sesekali menghancurkan kesejahteraan anak-cucu kita pada masa akan datang.
Sebab itulah dalam keghairahan kita untuk menabur mahupun mengharap pelbagai bentuk 'gula-gula' jangka pendek seharusnya jangan sesekali kita lupa hakikat bahawa setiap warga mempunyai tanggungjawab bagi memastikan ekonomi negara terus stabil dan berkembang agar negara tidak diwariskan dalam keadaan yang penuh bebanan dan kebobrokan.
Di sinilah perlunya kerajaan yang prihatin dan bertanggungjawab agar memastikan perbelanjaan khazanah negara sentiasa diurus dengan adil dan seimbang bukan sahaja mengambil kira keperluan rakyat yang hakikatnya terkesan dengan kos sara hidup yang meningkat masa kini tetapi pada masa sama menitik-beratkan pelaburan jangka panjang bagi meneruskan pertumbuhan ekonomi untuk kesejahteraan yang berkekalan.
Prinsip perbelanjaan sebegini amat secocok dengan Islam. Malah dalam al-Quran, Allah menjelaskan prinsip pengurusan berbelanja merupakan salah satu ciri Ibadurrahman atau hamba-hamba Tuhan yang dijanjikan balasan syurga di akhirat kelak sebagaimana yang digambarkan Allah dalam firmanNya: "Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak pula kikir dan adalah (perbelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian,". (al-Furqan: 67)
Ibnu Kathir ketika menafsirkan ayat di atas menerangkan bahawa hamba-hamba Allah yang dimaksudkan ialah orang-orang yang tidak membazir dalam berbelanja dan tidak berbelanja di luar batasan keperluan. Pada masa yang sama mereka bukan juga tergolong di kalangan orang yang bakhil dan kikir hingga menafikan hak anggota komponen masyarakat yang lain.
Di sinilah pentingnya untuk difahami prinsip Bajet 'Ibadurrahman' kerana kerajaan yang adil, prihatin dan bertanggungjawab tidak seharusnya sekadar berusaha menjadi popular dengan boros berbelanja dalam bentuk pemberian pelbagai 'gula-gula' yang mengkhayalkan rakyat untuk jangka pendek.
Sebaliknya kerajaan yang bertanggungjawab akan sentiasa memilih jalan pertengahan iaitu bersederhana di antara dua budaya ekstrem dalam berbelanja dengan mengimbangi antara keperluan jangka pendek dengan jangka panjang demi kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat secara berterusan. Inilah yang dihasratkan melalui pembentangan Bajet yang bertemakan "Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati".
Dengan memahami realiti dan falsafah sebenar Bajet inilah maka kita sebagai rakyat tidak akan mudah dihanyutkan dengan pelbagai janji-janji bulan, bintang dan cakerawala yang bagaikan fatamorgana yang mengasyikkan walhal penuh dengan kepalsuan dan mampu membobrokkan negara dan rakyat keseluruhan.
Akhirnya yang perlu kita fahami dan sepakati bahawa bajet ini adalah hakikatnya daripada kita sebagai rakyat dan semi kesejahteraan kita sendiri. Oleh itu setiap warga mempunyai tanggungjawab untuk merealisasikan dengan penuh rasa tanggungjawab dan amanah.

Tiada ulasan: