KUALA LUMPUR 14 Okt. - Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Saifuddin
Abdullah diingatkan tidak bermain 'politik dua muka' kerana amalan
politik itu boleh menghancurkan permuafakatan dalam sesebuah organisasi.
Presiden Gerakan Reformasi Malaysia (Reformis), Ramlan Abu Bakar
berkata, kenyataan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang mendakwa
serangan Barisan Nasional ke atas penyangak mata wang Yahudi, George
Soros berpotensi 'memakan diri sendiri' tidak boleh diterima.
Menurutnya, Saifuddin sepatutnya meletakkan jawatan kerana gagal
membezakan antara isu keselamatan negara dan isu politik iaitu antara
kriteria penting yang perlu dimiliki seorang ahli politik.
"Sejak dahulu lagi Saifuddin sememangnya mempunyai kecenderungan berbaik-baik dengan pihak yang sepatutnya menjadi lawan.
"Beliau lebih suka mengambil jalan selamat kerana tidak mempunyai
pendirian kukuh dalam berpolitik," katanya ketika dihubungi di sini hari
ini.
Semalam, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Temerloh digesa meletakkan
jawatan kerana gagal membezakan antara isu keselamatan negara dengan
isu politik.
Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin menegaskan,
sebagai seorang pemimpin dalam Kabinet, Saifuddin sepatutnya boleh
membezakan isu pertubuhan haram menerima dana asing untuk menjatuhkan
kerajaan dengan isu politik.
Mengulas lanjut, Ramlan berkata, Saifuddin sepatutnya mencontohi
bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang bertungkus-lumus
memperjuang dan berpijak di landasan politik parti itu.
Katanya, sebagai individu yang berjawatan dalam parti, Saifuddin
seharusnya berjiwa besar dalam mengangkat polisi kerajaan dan bukannya
membuka peluang kepada pembangkang menyerang kerajaan seperti yang
dilakukan beliau ketika ini.
Menurut beliau, sudah jelas kini Saifuddin tidak yakin dengan hala
tuju parti sehingga sanggup 'tidur sebantal' dengan pembangkang melalui
pendapat yang dikongsikan beliau.
"Sekiranya tidak yakin dengan UMNO, beliau boleh mengikut jejak bekas
rakan sejawatannya dalam parti, Datuk Seri Lajim Ukin melepaskan
jawatan dalam UMNO," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan