Ibrahim Ali menyampaikan ucapan dalam perasmian Persidangan Tahunan Perkasa 2012 di Gelugor, Pulau Pinang, semalam.
*****
PULAU PINANG 14 Okt. - Pakatan pembangkang tidak mampu menjamin
keselamatan negara jika mereka mengambil alih pentadbiran kerana
masing-masing memperjuangkan ideologi yang berbeza.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim
Ali berkata, perbezaan dasar antara Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR)
dan DAP semakin jelas ekoran perbezaan pendapat yang sering timbul
antara mereka.
"Dasar ketiga-tiga parti itu boleh diibaratkan seperti langit dan
bumi yang tidak memungkinkan mereka berjaya mewujudkan keamanan negara
jika berkuasa," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan
Persidangan Perkasa negeri kali ke-2 di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Yang Dipertua Perkasa negeri, Yusof Suhaimi Mohd. Yatim serta kira-kira 250 orang perwakilan.
Menurut Ibrahim, berdasarkan perbezaan itu, adalah jelas pakatan
pembangkang bukanlah pilihan terbaik kerana jika berkuasa, mereka hanya
akan menghakiskan keamanan yang telah wujud sekian lama.
"Mereka harus ingat keamanan negara adalah perkara asas dalam pentadbiran kerana negara ini mempunyai masyarakat majmuk.
"Selain itu, pakatan pembangkang juga belum didaftarkan sehingga
kini. Ini berbeza dengan BN yang sudah berpengalaman dan membuktikan
kemampuan mereka menguruskan negara sejak lebih 50 tahun lalu," katanya.
Dalam pada itu, Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas mencabar
Pas supaya lebih tegas terhadap DAP yang begitu lantang bersuara dalam
gabungan itu.
"Sebelum ini, Karpal Singh dengan nada keras pernah meminta Pas melangkah mayatnya dahulu jika mahu mewujudkan negara Islam.
"Saya ingin tahu, apakah Pas berani membangkitkan perkara sama iaitu
DAP harus langkah mayat Pas dahulu jika tetap mahu berjuang dengan dasar
Malaysian Malaysia," katanya.
Sementara itu, Ibrahim berkata, Perkasa yang mempunyai keahlian
hampir 300,000 orang di seluruh negara berikrar akan menyokong calon BN
dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan