KOTA BHARU 14 Okt. - Pas Kelantan meminta bekas Naib Presiden parti
itu, Datuk Dr. Hasan Ali berhenti daripada mengeluarkan sebarang komen
mengenai Pas kerana beliau bukan lagi ahli parti itu.
Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah
berkata, hanya ahli Pas yang faham keperluan parti itu dan pihak luar
tidak perlu campur tangan.
"Pasal Hasan saya tidak berhasrat untuk komen. Dia bukan ahli parti,
yang penting sekarang orang Pas sendiri tahu keperluan parti ini.
"UMNO sendiri perlukan MCA dan MIC, mereka tidak menang sendiri, dulu
Perikatan sekarang Barisan Nasional (BN)," katanya ketika dihubungi di
sini hari ini.
Mohd. Amar yang juga Exco Kelantan mengulas kenyataan Hasan yang
meminta Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz menyerahkan jawatan itu
kepada Timbalannya, Datuk Dr. Haron Din demi menjaga keutuhan parti
tersebut.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor, Wan Ismail
Wan Jusoh berkata, kenyataan Hasan itu membuktikan beliau ejen dan
'pembesar suara' UMNO.
Katanya, Pas tidak perlu menerima cadangan daripada musuh sebaliknya menyelesaikan sendiri masalah dalaman parti.
Dalam pada itu, Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr. Abd. Rani Osman
berkata, parti tersebut tidak perlu mendengar sebarang cadangan daripada
Hasan kerana beliau bukan lagi pemimpin Pas.
Beliau berkata, Hasan boleh menyuarakan apa sahaja pandangan tetapi segala keputusan terletak di tangan Majlis Syura Ulama.
"Siapa beliau mahu bagi cadangan kepada Pas. Mungkin beliau boleh
suarakan apa sahaja tetapi segala keputusan Majlis Syura Ulama yang akan
tentukan," jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan