16 Oktober 2012

Hasan Ali tidak keseorangan

KUALA LUMPUR 14 Okt. - Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Dr. Hasan Ali tidak berseorangan dalam menyuarakan pandangannya agar Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyerahkan jawatan itu kepada timbalannya, Datuk Haron Din.
Sebaliknya, menurut Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Datuk Dr. Azrae Idris, pendirian itu mewakili sebahagian besar ahli Pas yang mahu melihat parti itu kembali kepada dasar dan matlamat perjuangan asal.
Katanya, ramai ahli Pas yang berhasrat melihat transformasi dalam barisan kepimpinan tertinggi parti itu, namun mereka tidak bersuara kerana khuatir diperlakukan seperti Hasan yang akhirnya disingkirkan.
“Ahli Pas sudah tidak boleh bercakap kerana Pas tidak lagi demokratik.
“Jadi sebagai orang luar yang begitu mengenali Pas, tindakan Hasan mengeluarkan pandangan adalah wajar dan tepat kerana beliau telah bersuara bagi pihak sebahagian besar ahli parti tersebut," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Hasan yang meminta Nik Abdul Aziz menyerahkan jawatan Mursyidul Am yang disandangnya kepada Haron demi menjaga keutuhan parti tersebut.
Sementara itu, Presiden Ikatan Muslim Malaysia (Isma), Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata, Pas perlu memperkenalkan sistem yang diguna pakai dalam organisasi moden yang menetapkan had umur dan tempoh memegang jawatan dalam sesebuah organisasi.
Sebagai contoh, katanya, tempoh jawatan Presiden Amerika Syarikat (AS) dihadkan hanya dua penggal dan sistem sama turut digunakan di Mesir yang melakukan pembaharuan dalam perlembagaannya.
Dalam konteks Pas, ujarnya, Nik Abdul Aziz wajar mengundur diri kerana beliau sudah terlalu lama memegang jawatan tertinggi dalam Pas selain usianya yang telah lanjut.
“Nik Abdul Aziz dikekalkan jawatan sekarang bukan kerana kredibiliti kepimpinan atau ilmu yang dimilikinya, tetapi disebabkan pengaruh dalam politik.
“Berbanding Haron, pendiriannya lebih jelas dari sudut ilmu yang dimilikinya, bukan didorong oleh pengaruh politik," katanya.
Dekan Pembangunan Pelajar dan Alumni, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Muhammad Fuad Othman turut bersetuju dengan pandangan Hasan.
Katanya, oleh kerana matlamat perjuangan Pas telah berubah, maka peralihan kuasa kepada pemimpin yang masih memegang teguh perjuangan asal parti itu perlu dilakukan.

Tiada ulasan: