DALAM satu laporan akhbar 2 Oktober lalu, Menteri Besar, Tan Sri
Abdul Khalid Ibrahim menyatakan kerajaan negeri tidak akan melayan
desakan daripada 350 pembeli rumah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor
(PKNS) yang menuntut anak syarikat kerajaan negeri itu mengambil alih
hutang perumahan mereka.
Sebaliknya, Abdul Khalid menjelaskan, golongan miskin tidak
berkemampuan sepatutnya memohon bantuan zakat dan bukannya mendesak
supaya hutang mereka diambil alih oleh PKNS.
Kenyataan itu menarik perhatian pelbagai pihak kerana Abdul Khalid
seolah-olah cuba lepas tangan daripada isu sebenar yang dihadapi
golongan pembeli rumah PKNS - yang majoritinya daripada golongan
berpendapatan rendah dan miskin.
Sebagai sebuah kerajaan negeri, kenyataan Abdul Khalid itu tidak
menepati slogan pentadbirannya yang selama ini dicanangkan kepada rakyat
Selangor bahawa kerajaan negeri yang dipimpin Parti Keadilan Rakyat
(PKR), DAP dan Pas merupakan sebuah 'kerajaan berkebajikan'.
Di manakah istilah 'kebajikan' yang disebut-sebut oleh kerajaan
negeri itu? Isu tuntutan pembeli rumah PKNS tidak boleh dianggap remeh
oleh kerajaan negeri memandangkan perkara itu diluahkan sendiri oleh
mereka yang berpendapatan rendah dan miskin.
Bermula daripada 350 orang pembeli, bilangan mereka yang membuat
tuntutan sedemikian saban hari semakin bertambah. Setakat 12 Oktober
lalu, bilangan terkumpul yang membuat tuntutan sedemikian meningkat
menjadi 1,150 orang melibatkan nilai hutang jutaan ringgit.
Jika Abdul Khalid menyuruh para pembeli rumah PKNS itu memohon zakat,
bagaimana pula dengan pembeli yang bukan beragama Islam? Apakah
kerajaan negeri merasakan mereka tidak berhak untuk mendapat pembelaan
ekoran terhimpit dengan masalah kewangan dan kemiskinan?
Bagaimana pula dengan tindakan kerajaan negeri sebelum ini yang
mengambil hutang Talam Corporation Berhad (Talam) berjumlah RM392 juta
yang disifatkan para pembeli rumah PKNS tersebut tidak memberi manfaat
secara langsung kepada rakyat miskin di negeri ini?
Atas alasan itu penduduk turut menuntut kerajaan negeri mengambil
tindakan sama kepada hutang mereka seperti mana mengambil alih hutang
Talam termasuk mencari mekanisme sesuai bagi meringankan beban mereka.
Hakikatnya, sehingga ke hari ini kerajaan negeri tidak mengemukakan
perancangan khusus untuk membantu golongan pembeli rumah berkenaan
melainkan hanya meminta PKNS menyenaraikan nama para pembeli rumah yang
miskin.
Apa sudah jadi dengan janji kerajaan negeri melalui manifesto pada
pilihan raya umum 2008 yang mahu membantu rakyat Selangor memiliki
kediaman sendiri? Janji itu sendiri terkandung di bawah perkara sosial
dan kebajikan rakyat dalam manifesto berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan