ALOR SETAR 14 Okt. - DAP Kedah sekali lagi
menegaskan mereka akan menentang undang-undang yang berunsurkan Islam
jika ia mahu dilaksanakan di negeri itu.
Pengerusinya, Lee Guan Aik berkata, tindakan itu termasuk dalam soal
pelaksanaan garis panduan papan iklan antaranya menggunakan model
berpakaian sopan dan perlu bertudung jika beragama Islam.
Katanya, sebarang perkara berkaitan undang-undang Islam perlu
dipersetujui oleh semua parti dalam pakatan pembangkang di peringkat
Pusat dan negeri.
"DAP negeri sekali lagi ingin menegaskan dan menjelaskan bahawa kami
tidak akan memberi sokongan terhadap undang-undang hudud atau apa sahaja
berkaitan isu negara Islam," katanya dalam sidang akhbar di sini hari
ini.
Guan Aik mengulas kenyataan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Alor Setar
(MBAS), Datuk Mat Noh Ahmad berhubung garis panduan pemasangan papan
iklan di kawasannya yang meliputi penggunaan bahasa, landskap dan
pakaian model iklan.
Antara perkara yang ditekankan dalam garis panduan itu ialah model
dalam gambar perlu sopan dan berpakaian tidak menjolok mata dan jika
model itu beragama Islam, dia perlulah menutup aurat.
Guan Aik berkata, kenyataan Datuk Bandar tersebut cuma merupakan
pendirian peribadinya kerana garis panduan yang dicadangkan itu tidak
selari dengan peraturan dalam Undang-undang Kecil Majlis Perbandaran
Kota Setar (MPKS) 1992.
Jelasnya, pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu tidak mempunyai
kuasa untuk menggubal atau mewartakan sesuatu peraturan tanpa
dipersetujui oleh Ahli Majlisnya yang diwakili oleh wakil daripada parti
pakatan rakyat.
"Perkara ini serius dan masing-masing ada prinsip. Tidak kira apa undang-undang pun.
"Setiap ahli majlis mewakili parti dan bertanggungjawab kepada parti.
Parti tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap mereka jika
mendapat tahu kepentingan parti diketepikan. Oleh itu mereka perlu tahu
apa yang patut atau tidak patut disokong," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan