KAJANG 18 Okt. - Menteri Perdagangan Dalam
Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
menganggap anggota Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua sebagai
'bacul' berikutan tindakannya mengusulkan pemotongan gaji beliau atas
dakwaan salah guna kuasa dan memilih dalam memfailkan dakwaan ke atas
syarikat.
"Saya sendiri berada di Parlimen semalam bagi menjawab isu Suaram dan
Suara Inisiatif. Kalau dia berani dia akan datang berhadapan dengan
saya tapi saya anggap dia seorang yang bacul dan tak faham apa yang dia
cakap," katanya kepada pemberita selepas menutup Simposium Gerakan
Pengguna Malaysia 2012 di Institut Latihan Keselamatan Sosial KWSP
(ESSET) di sini hari ini.
Ketua Publisiti DAP itu semalam mengusulkan agar RM10 dipotong
daripada gaji Ismail Sabri kerana didakwa menyalahgunakan kuasa untuk
kepentingan parti dalam siasatan berhubung Suara Inisiatif Sdn. Bhd.,
sedangkan tidak mengambil tindakan ke atas beberapa syarikat lain yang
turut melakukan kesalahan.
Ismail Sabri yang menafikan bahawa beliau memilih dalam memfailkan
pendakwaan terhadap mana-mana syarikat, menegaskan dalam tempoh setahun
terdapat lebih 200 syarikat yang diambil tindakan dan Suara Inisiatif
hanya merupakan satu daripadanya.
Beliau berkata, apa saja kes yang melanggar peraturan dalam Akta Syarikat 1965 akan disiasat dan diambil tindakan.
"Saya harap Tony Pua jumpa saya, boleh saya ajar mengenai prosedur-prosedur.
"Saya tak tahu sama ada dia peguam atau tidak tapi kalau dia bukan
peguam mungkin saya boleh bantu dia dari segi pemahaman tentang Akta
Syarikat 1965," katanya. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan