26 November 2012

NGO hairan sikap Pas pandang ringan isu akidah

KUALA LUMPUR 15 Nov. - Beberapa pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melahirkan rasa hairan dan bingung dengan sikap Pas yang memandang ringan isu kontroversi berhubung kebebasan beragama dicetuskan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar sebagai 'satu perkara kecil'.

Malah, dalam kalangan mereka turut mempersoalkan tindakan Pas yang lebih memandang tinggi isu untuk menumbangkan kerajaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) berbanding isu akidah.

Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad berkata, sikap ditonjolkan oleh Pas itu menunjukkan ada sesuatu tidak kena dalam parti yang meletakkan Islam sebagai perjuangan utama mereka.

''Kalau nak kata kenyataan itu (kenyataan Nurul Izzah) perkara kecil, ini bertentangan dengan akidah serta gerakan Islam. Ada sesuatu yang tak kena dengan Pas.

''Dalam Islam dan gerakan Islam, agenda utama adalah akidah. Maka kumpulan atau gerakan Islam mesti meletakkan akidah di atas segala-galanya,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib bahawa Pas menyifatkan isu kontroversi yang dicetuskan Nurul Izzah sebagai 'satu perkara kecil'.

Menurutnya, pada Muktamar Tahunan Pas Ke-58 kali ini, Pas tidak bercadang untuk membawa isu tersebut dan hanya isu besar yang menjurus kepada tumbangnya UMNO dan BN akan diberi keutamaan untuk dibincangkan.

Mengulas lanjut, Ismail Mina berkata, kenyataan bahawa Pas melihat isu kontroversi itu sebagai perkara kecil perlu diberi perhatian oleh umat Islam.

''Apakah Pas sudah keluar daripada perlembagaannya sendiri iaitu menjunjung al-Quran dan sunnah? Nampaknya mereka telah mengetepikan al-Quran kerana kitab suci ini mengajak kita mentauhidkan Allah dan menjunjung Islam,'' ujarnya.

Mengulas isu sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahya berkata, sikap Pas tersebut jelas menampakkan wujudnya diskriminasi pilihan isu.

''Kalau ada isu berkaitan UMNO atau MCA, mereka (Pas) begitu ghairah menyatakan fatwa dan sebagainya. Tetapi apabila kena rakan karib, mereka anggap perkara ini kecil sedangkan isu akidah adalah perkara besar.

''Ingatlah, nabi dan rasul diutuskan Allah untuk mengangkat akidah. Nabi Muhammad SAW tak datang menjatuhkan sesuatu kerajaan tetapi memurnikan akidah. Walaupun ketika itu Arab Jahiliah teruk, baginda tak sentuh hal menjatuhkan mereka tetapi mengutamakan pembentukan akidah,'' katanya.

Menurutnya, dasar perjuangan Pas pada hari ini dilihat jauh menyimpang berbanding pemimpin dahulu yang lebih tegas.

''Saya memuji Pas ketika mereka bangkit menentang kes murtad Lina Joy. Kita betul-betul bangga. Mereka dahulu pertahankan hudud dan tegas dengan pendirian. Sebab itu, saya nak cadangkan Muktamar Pas kali ini membincangkan ideologi sesat yang meresap dalam parti itu hari ini,'' katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20121116/po_11/NGO-hairan-sikap-Pas-pandang-ringan-isu-akidah#ixzz2DIc14lx6
© Utusan Melayu (M) Bhd | hwa: 26/11/12

Tiada ulasan: