14 November 2012

Penduduk Kuantan tidak bodoh seperti puak anti-Lynas

TERNYATA! Penduduk Kuantan tidaklah bodoh hanya kerana tidak bersama-sama puak-puak anti-Lynas dalam menyuarakan penentangan terhadap projek pemprosesan logam tanah jarang Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di Gebeng, dekat sini.
Ini adalah berasaskan fakta-fakta sahih yang sengaja tidak mahu diambil peduli oleh puak-puak tersebut. Keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan semalam (8 November) yang menolak injunksi oleh puak-puak berkenaan ke atas Lesen Operasi Sementara (TOL) Lynas.
Dan, mahkamah yang sama yang dihakimi oleh Datuk Mariana Yahya, yang turut memutuskan bahawa LAMP milik Lynas Malaysia Sdn Bhd boleh memulakan operasinya bermula hari itu juga; telah menguatkannya lagi.
Puak-puak anti-Lynas yang 'minoriti lantang' khususnya kumpulan yang menamakan diri sebagai Save Malaysia Stop Lynas (SMSL), ada mempersoalkan tentang kebijaksanaan penduduk Kuantan berkaitan dengan projek bernilai RM2,300 juta ini.
Ini dilakukan menerusi ajakan mereka agar penduduk Kuantan turun beramai-ramai pada Rabu, 10 Oktober lepas di Kompleks Mahkamah Kuantan untuk memperlihatkan tekad mereka menentang Lynas; tidak mendapat sambutan. Yang hadir dikatakan, tidak sampai pun 200 orang.
Mahkamah Tinggi Kuantan pada 10 Oktober itu, dijadual membuat keputusan mengenai permohonan puak-puak tersebut menarik balik pengeluaran Lesen Operasi Sementara (TOL) oleh Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) kepada Lynas Malaysia Sdn Bhd bagi memulakan pengeluaran di LAMP, tetapi kemudian ditangguhkan ke 8 November.
Oleh kerana tertangguh, sekali lagi ajakan itu dilakukan termasuklah menerusi iklan dalam tiga akhbar 'vernakular' Cina tempatan edisi timur yang SMSL tempah dan disiarkan sejak 3 November.
Lalu diharap kehadiran penduduk Kuantan yang ramai kononnya untuk membuktikan kepada dunia menerusi media tentang kuatnya azam penduduk di sini untuk mempertahankan bumi mereka daripada kemusnahan.
Kehadiran yang diharap-harapkan tetap juga mengecewakan. Cuma sekitar 150 orang dan pula kali ini, golongan yang menyokong projek Lynas yang menganggap diri mereka mewakili 'majoriti seunyap' pula yang turut hadir, malah lebih ramai iaitu kira-kira 300 orang.
Iklan berbahasa Mandarin tempahan SMSL itu mempamerkan ayat-ayat yang serupa dalam ketiga-tiga akhbar berkenaan, menyoalkan tentang kebijaksanaan/kebodohan penduduk dengan tajuk besar; 'Adakah kamu bodoh?' disusuli empat (4) persoalan antaranya ialah;
'Apabila Kerajaan China tidak berani untuk menerokai tanah jarang tetapi beberapa pihak berkuasa di Malaysia mengatakan bahawa sisa dari kilang tanah jarang Lynas boleh mudah dlupuskan. Kalau kamu percaya, maka kamu adalah bodoh!!'
'Apabila New York Times menyiarkan artikel mengenai Lynas, baharu itu rakyat Malaysia sedar bahawa sebetulnya akan ada kilang pemprosesan logam tanah jarang terbesar di dunia di Gebeng. Kalau kamu percaya bahawa kementerian berkaitan melaksanakan tugasnya secara telus, maka kamu adalah bodoh!!'
Dan, ayat-ayat akhir pada iklan berkenaan menyebut; 'Kami merayu kepada seluruh penduduk yang tidak berpuas hati, marah dan mempunyai tanggungjawab untuk melindungi nyawa keluarga mereka, supaya mengorbankan dua (2) jam daripada masa mereka, dari 8 pagi hingga 10 pagi untuk berada di Mahkamah Tinggi Kuantan.
'Ini ialah untuk membolehkan media tempatan dan antarabangsa menyaksikan tekad penduduk Kuantan yang tidak membiarkan tanahair yang cantik mereka ini dimusnahkan oleh Lynas'.
Gagalnya perhimpunan puak-puak anti-Lynas pada hari 10 Oktober dan semalam (8 Nvember) bukan setakat kerana kecilnya bilangan penduduk Kuantan yang hadir malah, media tempatan khususnya akhbar-akhbar 'vernakular' Cina dan media antarabangsa tiada satu pun kelihatan.
Dengan gagalnya perhimpunan yang diharap-harapkan besar itu, bukankah bermakna ajakan mereka tidak disahut maka bodohlah penduduk Kuantan yang berjumlah kira-kira 500,000 orang berbanding mereka yang 'bijak', yang tidak sampai pun 200 orang?
Bahawa mereka sanggup menggunakan perkataan bodoh dalam iklan berkenaan yang turut dicetak dalam bentuk 'flyers' bagi edaran umum, jelas menunjukkan sikap dwi-standard - mereka boleh menggunakannya tetapi dianggap biadap jika pihak lain melafazkannnya sungguhpun secara tidak sengaja atau 'slip-of-the-tongue' sekalipun.
Kepada persoalan-persoalan yang ditimbulkan, bukanlah payah untuk menjawabnya. Malah, telah pun diberikan penjelasan mengenainya oleh kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang mana AELB di bawahnya; mahupun syarikat yang terlibat, yakni Lynas Malaysia Sdn Bhd.
"Lynas datang ke Malaysia dengan satu matlamat iaitu melabur dalam industri logam tanah jarang. Kami (Lynas) tidak pilih untuk melabur di Australia ataupun China (yang Lynas telahpun memperolehi kelulusan untuk melabur di kedua-dua negara itu) pada asasnya kerana faktor ekonomi," kata seorang pemimpin kanan syarikat itu berulang-ulang kali.
Faktor ekonomi yang dimaksudkan termasuklah ekoran berdaya-saingnya kos sumber manusia mahupun bahan-bahan mentah sokongan seperti air dan elektrik yang diperlukan, yang terdapat dengan banyak dan mudahnya di negara ini, bagi menjayakan pelaburan Lynas ini.
Ini sekali gus menjawab persoalan SMSL tentang ketidakrelaan negara China menerokai industri bahan mentah logam tanah jarang tersebut. Dan pula, bukanlah rahsia betapa negara China ialah pengeluar terbesar dengan memonopoli 97 peratus daripada keseluruhan pasaran logam tanah jarang dunia.
Bodohkah penduduk Kuantan jika mereka percaya kepada penerangan dan penjelasan yang telah pun mereka terima sebagai hakikat nyata, mengenai faktor utama kehadiran Lynas di negara ini?
Begitu juga dengan persoalan tentang kononnya ketidaktelusan kerajaan dalam menerima kemasukan pelaburan Lynas ini. Rakyat dikatakan hanya mengetahui mengenainya setelah akhbar New York Times melaporkannya pada 8 Mac 2011.
Sedangkan, umum juga telah mengetahui betapa sejak Julai 2009 lagi, wakil-wakil rakyat dari kedua-dua parti pemerintah dan pembangkang, telah pun sama-sama diberikan taklimat mengenai projek pemprosesan logam tanah jarang ini.
Jadi kini, siapakah yang bodoh sebenarnya?

Tiada ulasan: