NAJIB Tun Razak menyampaikan beg
kepada pelajar sekolah pondok pada program ramah mesra bersama warga
Pondok dan melancarkan Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) di
Masjid Taman Bukit Indah, Ampang, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/AMIN
FARIJ Hasan
*****
KUALA LUMPUR 8 Nov. - Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak berkata, soal akidah umat Islam mesti dipertahankan dan
tidak ada kompromi dalam perkara itu walaupun negara berkongsi nilai
sejagat.
Kata beliau, ketika ini fahaman liberalisme dan pluralisme sedang
menular dan memberi ancaman besar kepada umat Islam sehingga boleh
menggugat keharmonian dan kestabilan kehidupan beragama serta
bermasyarakat.
Namun, jelas beliau, adalah sesuatu yang amat malang kerana terdapat
golongan yang mengamalkan fahaman tersebut serta disokong pula oleh
pihak berkepentingan yang bersekongkol dengan golongan berfahaman
sedemikian.
"Mereka ternyata silap mengenai konsep kemajmukan, sebab itu mereka melihat semua agama mempunyai nilai sama.
"Mutakhir ini banyak tuduhan dan kenyataan yang tidak
bertanggungjawab dibuat mengenai Islam dan amalannya di negara kita,
majoritinya tidak berdasarkan ilmu dan dibuat bagi memenuhi agenda atau
kepentingan tertentu.
"Malangnya lagi, pengikut orang yang membuat tuduhan itu pun kurang
pengetahuan juga lalu mudah mempercayainya dan hanya mengulangi apa yang
mereka dengar tanpa memahami konsep sebenar, berdebat dan
mempertikaikan tanpa asal usul perkara itu secara mendalam atau
pengetahuan yang cukup," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis ramah mesra
bersama warga Pondok sekali gus melancarkan Yayasan Pembangunan Pondok
Malaysia (YPPM), di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk
Dr. Mashitah Ibrahim; Profesor Ulung merangkap Pengerusi Lembaga
Pemegang Amanah YPPM, Prof. Tan Sri Dr. Kamal Hassan dan Pengerusi YPPM,
Juhaidi Yean Abdullah.
Menurut Perdana Menteri, isu agama merupakan isu sensitif termasuk soal bahasa, pendidikan dan tempat ibadat.
Sehubungan itu, Najib menyarankan semua pemimpin agar bersikap
bijaksana dan berhemah dalam membicarakan sesuatu isu yang boleh
menyentuh perasaan kaum atau penganut agama lain.
"Janganlah terbawa-bawa dengan sikap liberal dan demokrasi melampau
yang tidak mengambil kira perasaan atau sensitiviti dan ketegangan kaum
ketika membicarakan sesuatu isu secara terbuka dan bebas.
"Disebabkan kurang pengetahuan, salah tafsir tentang sesuatu konsep
atau istilah serta sengaja diselewengkan, maka ini boleh membawa kepada
ketegangan antara kaum dan penganut agama berlainan.
"Penghinaan terhadap umat Islam melalui tayangan filem, klip video,
Youtube atau laman sosial serta apa-apa kenyataan tidak berasas boleh
membawa padah," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Najib yang juga penaung YPPM berkata,
institusi pondok perlu dipertahankan kerana pusat pengajian Islam itu
masih kekal relevan dan menjadi benteng kepada identiti Melayu Islam
rantau ini.
"Institusi pondok ini mesti dipertahankan kerana ilmu pondok boleh
diguna dan dirujuk untuk kita menangani pelbagai serangan ilmiah dan
trend pasca-modernisme yang sedang berlaku.
"Bagi menghadapi isu kebebasan mutlak, rasionalisme tanpa had,
sekularisme, liberalisme dan pluralisme agama, maka hujah daripada teks
pondok adalah lebih mantap," katanya.
Perdana Menteri berkata, kerajaan bersedia memberikan bantuan
biasiswa kepada pelajar pondok untuk melanjutkan pengajian di peringkat
tinggi bagi mereka yang tidak berkemampuan.
Najib sebelum itu turut melancarkan Direktori Pondok iaitu satu pangkalan data berhubung 110 pondok berdaftar seluruh negara.
Najib turut menyampaikan geran sebanyak RM100,000 bagi penubuhan sebuah pusat sumber di ibu pejabat YPPM.
Pada masa sama, beliau menyampaikan Anugerah Tokoh Pondok dan
Anugerah Pondok Contoh 2012 kepada tiga tokoh, Pondok Terbaik serta 11
Pondok menerima Anugerah Kasih Perdana Menteri iaitu sejumlah dana untuk
membaik pulih prasarana institusi mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan