21 Disember 2012

Ariffin 'sogok' DAP - Idris

KUALA LUMPUR 19 Dis. - Dakwaan Naib Pengerusi baharu DAP, Dr. Ariffin S.M. Omar bahawa monopoli kaum Melayu sebagai punca rasuah berleluasa dalam perkhidmatan awam disifatkan cubaan meraih sokongan DAP untuk dipilih sebagai calon pada pilihan raya umum akan datang.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Ir. Idris Haron berkata, kenyataan berbaur rasis oleh Ariffin itu merupakan tindakan tidak berasas serta berprasangka buruk terhadap perkhidmatan awam.
Ujarnya, tindakan Ariffin itu boleh mengundang persepsi negatif pelbagai pihak yang boleh membawa kepada kemusnahan hubungan baik antara kaum di negara ini.
"Tanggapan terhadap sesetengah kaum atau pihak sebagai pemberi atau punca rasuah dalam satu organisasi merupakan satu tuduhan liar yang bertujuan mendapatkan kepercayaan pucuk pimpinan DAP.
"Beliau seharusnya berfikir secara menyeluruh, langkah terbaik bagi menangani masalah ini daripada terus berleluasa berbanding menuduh sesetengah pihak terlibat dalam gejala rasuah," katanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Utusan Malaysia hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ariffin yang mendakwa monopoli kaum Melayu sebagai punca rasuah berleluasa dalam perkhidmatan awam.
Tambah Idris, rasuah adalah penyakit masyarakat yang tiada kaitan dengan kaum, malah tiada agama di dunia ini menghalalkan amalan terkutuk itu.

Tiada ulasan: