27 Disember 2012

Balak: Karpal Singh terlepas pandang

IPOH 24 Dis. - Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham mempertahankan penglibatannya dalam syarikat Upayapadu Plantation Sdn. Bhd. yang mendapat projek pembalakan di Kelantan walaupun Pengerusi parti itu, Karpal Singh menganggap ia sesuatu yang serius.
Koo Ham menegaskan, cadangan supaya beliau dipanggil memberi penjelasan kepada CEC juga tidak sepatutnya timbul memandangkan isu berkenaan sudah dijelaskan kepada jawatankuasa tersebut melalui e-mel dua hari lalu.
E-mel itu katanya, turut dihantar kepada semua ahli CEC termasuk Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Karpal sendiri.
"Karpal terlepas pandang kerana saya telah memberi penjelasan mengenai perkara itu melalui e-mel kepada seluruh ahli CEC termasuk beliau dua hari lalu. Mungkin beliau membuat kenyataan media (semalam) kerana belum membaca penjelasan tersebut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Karpal semalam dilaporkan berkata, Koo Ham akan dipanggil untuk memberi penjelasan kepada CEC mengenai penglibatan beliau dalam sebuah syarikat yang terlibat dalam projek pembalakan di Kelantan.
Blog pisau.net sebelum ini mendakwa dua pemimpin kanan DAP negeri ditawarkan tanah bernilai lebih RM30 juta di Gua Musang, Kelantan sebagai syarat menerima wakil Pas, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaludin sebagai Menteri Besar Perak pada 2008.
Pemberian tanah itu didakwa dilakukan dengan menggunakan modus operandi menubuhkan syarikat Upayapadu Plantation Sdn. Bhd. yang kemudian dianugerahkan tanah tersebut sebelum hak milik syarikat berkenaan diambil alih oleh Koo Ham dan Setiausaha DAP negeri, Nga Kor Ming serta kroni DAP.
Selepas berteka-teki dalam isu tersebut, Koo Ham dan Kor Ming dalam satu sidang akhbar baru-baru ini mengakui mempunyai kepentingan dalam syarikat tersebut.

Tiada ulasan: