KUALA KANGSAR 15 Dis. - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan,
Barisan Nasional (BN) yang mempunyai rekod kejayaan dalam membawa
kemakmuran kepada rakyat selama ini tidak boleh disamakan dengan
pembangkang yang hanya membawa kerosakan kepada negara.
Sehubungan itu, Perdana Menteri mengingatkan rakyat supaya tidak
terpengaruh dengan andaian kononnya apa jua usaha kerajaan BN dalam
membela nasib rakyat dan memakmurkan negara selama ini juga boleh
dilakukan oleh pakatan pembangkang jika mereka memerintah.
''Tidak semua kerajaan sama, itu adalah sesuatu yang mustahil. Ada
yang kata kalau pilih siapa (kerajaan) pun, semua (kejayaan negara) itu
akan berlaku. Ini bukan hakikat atau realiti yang sebenarnya.
''Hakikatnya, kejayaan kita selama ini adalah kerana kita (BN)
berjaya urus negara dengan baik. Ini dapat dilakukan kerana adanya
keamanan dan kestabilan yang wujud dalam negara," katanya ketika berucap
merasmikan Program Pengiktirafan Veteran 1Malaysia (1MRVP) di sini hari
ini.
Najib berkata, sejarah membuktikan bagaimana kerajaan BN mewujudkan
pentadbiran yang cekap dan stabil, selain menunaikan segala
janji-janjinya supaya rakyat terus mengecapi keamanan dan kestabilan.
Beliau menarik perhatian keadaan di sesetengah negara maju yang
bergelut dengan krisis ekonomi sehingga membawa kesengsaraan kepada
rakyatnya, tetapi keadaan itu tidak berlaku di Malaysia.
''Malah, di sesetengah negara maju di Eropah, peruntukan perbelanjaan
gaji pun mereka terpaksa potong. Tetapi di Malaysia, kita boleh tambah
gaji, kita boleh tambah pencen dan kita boleh tambah bonus," katanya.
Menurut Perdana Menteri, berbeza dengan pendekatan berhemah BN untuk
membawa keamanan dan kestabilan, pakatan pembangkang sebaliknya
cenderung mencetuskan rusuhan serta huru-hara yang hanya merugikan
rakyat dan negara.
''(Pakatan) pembangkang juga tidak sealiran, pemikiran mereka
kucar-kacir dan mempunyai ideologi yang tidak sama. (Komponen) BN ada
dalam satu pasukan, ada kepimpinan yang satu dan ada agenda transformasi
untuk rakyat," tegas beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan