KISAH masyhur Pak Kaduk yang sentiasa menanggung kerugian serta musibah akibat kedunguan dirinya tidak pernah dilupa dan menjadi sebutan; meniti dari bibir ke bibir, zaman ke zaman. Kisah yang sarat dengan nasihat dan pengajaran itu seharusnya tidak sekadar menjadi bahan jenaka dan ketawa.
Namun berapa ramaikah antara kita yang sentiasa ingat dan berminat untuk mengambil pengajaran daripada kisah tersebut? Berapa ramaikah pula antara kita yang tanpa sedar memiliki ciri-ciri kedunguan dan kejahilan sebagaimana yang ada pada Pak Kaduk?
Kisah Pak Kaduk antara lain, memberi isyarat tentang pentingnya akal dan kebijaksanaan dalam menjalani kehidupan. Akal dan kebijaksanaanlah yang akan membimbing manusia memilih antara yang baik dengan buruk dan maslahah dengan mudarat selain mempertimbang akibat atau kesan sesuatu tindakan.
Jelas bahawa insan yang menggunakan akalnya dan dikurniai kebijaksanaan akan memperoleh manfaat yang besar, sebagaimana ditegaskan oleh al-Quran, Dan sesiapa yang diberikan hikmah itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak." (Surah al-Baqarah 2 : 269).
Dalam mentafsirkan ayat ini, Ahmad Mustafa al-Maraghi menegaskan bahawa sesiapa yang dikurniai Allah ilmu yang berguna dan diberikan petunjuk tentang cara menggunakan akal untuk menuju ke jalan yang benar, bermakna dia memperoleh kebaikan dunia dan akhirat.
Kebijaksanaan begitu diberikan penekanan sehingga al-Imam al-Ghazali r.h. misalnya menjadikannya sebagai salah ciri penting dalam memilih seorang sahabat. Menurut beliau tiada kebaikan yang akan diperoleh dengan bersahabat dengan seorang yang bodoh dan jahil kerana persahabatan itu akhirnya membawa kepada permusuhan dan kesulitan.
Langkah terbaik ialah melindungi diri daripada kemudaratan yang diakibatkan individu berkenaan termasuk dalam usahanya untuk membawa manfaat atau memberikan bantuan kepada kita.
Umum mengetahui bahawa asas atau sumber bagi kebijaksanaan ialah ilmu pengetahuan. Ilmu yang merupakan nur yang diletakkan Allah SWT dalam kalbu manusia akan sentiasa bertindak sebagai pembimbing bagi pemiliknya.
Justeru seseorang yang memiliki hikmah atau kebijaksanaan akan didorong untuk memilih tindakan dan perbuatan yang baik dan bermanfaat bukan sahaja untuk dirinya tetapi orang lain juga. Dengan kata-kata lain, seorang yang bijaksana akan terhindar daripada bertindak menurut perasaan dan emosi yang didorong oleh nafsu.
Perhatikan situasi yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Betapa banyak watak Pak Kaduk yang dapat disaksikan berada di sekeliling kita. Antaranya termasuklah individu yang sentiasa dimanipulasi orang lain akibat kejahilan diri sehingga tergadai milik serta kepentingan peribadi.
Hal inilah yang sering dapat dilihat berlaku. Lebih dibimbangi jika kelak ia membabitkan urusan yang jauh lebih besar dan penting seperti kepemimpinan negara. Misalnya jaminan Perlembagaan negara yang melindungi sebahagian besar kepentingan umat Islam.
Namun persoalannya, adakah segala kelebihan itu dimanfaatkan sebaik-baiknya atau tidak diendahkan sama sekali malah tidak dianggap sebagai sesuatu yang wajar dipertahankan.
Malang sekali, jika kejahilan dan keangkuhan itu dimanipulasi oleh pihak lain dengan memanfaatkannya bagi mencapai cita-cita mereka. Maka kelak yang tertawa puas dan gembira ialah pihak berkenaan. Sebaliknya, yang bermuram durja ialah kita yang tidak tahu menghargai nikmat yang pernah berada dalam genggaman.
Demikianlah resam hidup, sesuatu yang bernilai dan bermakna hanya tahu dihargai apabila kelak kita telah pun kehilangannya.
Selain tidak bijak memanfaatkan kelebihan yang dimiliki, masyarakat kita juga kelihatan begitu mudah terdorong oleh emosi dan perasaan. Dengan kata-kata lain, nafsu dijadikan pilihan untuk dituruti. Sementara kebijaksanaan dan kewarasan diri di kesampingkan, meskipun jelas diketahui bahawa nafsu hanya sentiasa mendorong kepada kejahatan dan keburukan.
Sikap berlapang dada, merendah hati, dan memaafkan bukan lagi menjadi keutamaan. Justeru jika tercetus sesuatu kemelut dalam kalangan kita, tiada penyelesaian yang dapat ditemukan.
Sebagai contoh, perbezaan pandangan tentang perkara-perkara tertentu sentiasa sahaja mengundang perbalahan dan percakaran besar. Atas dorongan nafsu, kita saling marah-memarahi, caci-mencaci, dan keji-mengeji antara sesama sendiri. Telah hilang lenyaplah rasa kasih sebagai saudara serta sekutu dan yang menjadi gantinya hanyalah kebencian dan perseteruan.
Umum kita mengetahui tentang sifat sejarah yang sentiasa berulang. Malah kita juga menyedari kepentingan mengambil pengajaran daripada sejarah, khususnya dengan tidak mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan sebelumnya.
Kegagalan mengambil pengajaran daripada sejarah silam hanya akan menyebabkan kita mengulangi kesilapan, kegagalan, dan kemunduran yang pernah dilalui generasi terdahulu. Amat dibimbangi bahawa kemusnahan yang perlu ditanggung akibat daripadanya adalah lebih besar dan lebih memudaratkan.
Pilihan kini berada di tangan kita, iaitu sama ada atas nama persaudaraan, kita dengan rela mengetepikan keangkuhan dan kedegilan lalu berusaha mencari titik pertemuan dan melakukan pembetulan sikap serta pendekatan. Atau membiarkan sahaja perpecahan terus melebar sehingga sedemikian kita mudah dikuasai pihak lain lalu akhirnya terpinggir begitu sahaja.
Jika itu pilihannya, maka persoalannya relakah kita menjadi seperti Si Kaduk yang hanya menang dalam bersorak, namun kampung tempat asal-usul tergadai dan terlepas ke tangan orang? Sanggupkah kita akhirnya menjadi seperti dirinya yang terpaksa menumpang di rumah sahabatnya buat selama-lamanya sebagai dagang yang merempat? Manfaatkan akal untuk membuat pilihan yang baik agar kesudahannya kelak kita tidak diselubungi sesalan dan kerugian.
Penulis ialah Pegawai Penyelidik Kanan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan