IPOH 24 Dis. - Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham hari ini mempertahankan tindakannya menerima darjah kebesaran yang membawa gelaran 'Datuk' walaupun ia didakwa melanggar polisi parti DAP yang tidak membenarkan pemimpinnya menerima gelaran ketika masih dalam politik.
Koo Ham yang juga Ahli Parlimen Beruas menegaskan, beliau percaya sesuatu darjah kebesaran atau gelaran diperolehi menerusi 'cara seseorang itu menjalani kehidupannya'.
Katanya, isu tersebut telah dibincangkan oleh Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti sebelum beliau menerima darjah kebesaran itu daripada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah pada 2008.
Beliau mengakui ketika perbincangan itu Pengerusi DAP, Karpal Singh menentang penganugerahan tersebut.
"Karpal menentang tetapi majoriti anggota CEC berpendapat bahawa saya patut menerima anugerah itu dan isu ini tidak sepatutnya mengalihkan tumpuan daripada tugas lebih penting untuk mentadbir Perak dengan baik (pada masa itu).
"Saya harap Karpal menerima keputusan majoriti anggota CEC dan terus maju ke depan. Isu ini tidak seharusnya menyebabkan perpecahan dalam kalangan pimpinan parti dan jika Karpal bertegas dengan pandangannya, beliau perlu membawa perkara ini ke CEC untuk penilaian semula," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini menyiarkan kenyataan Karpal yang menempelak dua pemimpin parti itu, Koo Ham dan Datuk Teng Chang Khim kerana menerima darjah kebesaran dikurniakan raja-raja Melayu yang membawa gelaran Datuk.
Karpal melahirkan rasa tidak puas hatinya itu kerana kedua-dua pemimpin DAP berkenaan melanggar prinsip yang dipegang parti tersebut sejak pertengahan 1990-an iaitu tidak akan menerima sebarang gelaran ketika masih aktif dalam politik.
Koo Ham bagaimanapun menegaskan, pemberian anugerah tersebut bukan kerana permintaannya, sebaliknya atas kehendak dan budi bicara Sultan Perak.
"Saya ingin menyatakan bahawa semasa saya menjadi Exco kanan kerajaan negeri, saya tidak pernah mencari untuk diberikan sebarang anugerah atau gelaran.
"Namun demikian, Sultan Perak atas kehendak baginda sendiri menganugerahkan gelaran Datuk. Ini adalah hak dan budi bicara baginda untuk menganugerahkannya," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan