SHAH ALAM 18 Dis. - Tindakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meminta 5,031 ibu tunggal membuktikan di mahkamah bahawa mereka mengundi calon Pas, DAP dan PKR semasa Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) sebagai syarat untuk mendapat tunggakan elaun RM100 disifatkan sebagai helah politik pembangkang.
Menurut Pengerusi Ibu Tunggal Selangor, Mortini Kasman, permintaan Abdul Khalid itu merupakan satu perkara yang tidak munasabah kerana undi adalah rahsia dan tidak boleh didedahkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada umum.
"Ini satu lagi putar belit pembangkang. Dulu janji kalau menang semua dapat bantuan tidak kira parti tetapi sekarang lain pula jadinya. Kenapa perlu persoalkan undi, bukankah undi itu rahsia?
"Sepatutnya bantuan diberi kepada semua yang layak seperti dijanjikan tanpa mengambil kira parti yang diundi," katanya selepas mengadakan pertemuan singkat dengan Timbalan Pengarah SPR Selangor, Fadly Mat Som di Kompleks PKNS di sini hari ini.
Hadir sama peguam ibu-ibu tunggal tersebut, Kamarudin Ahmad dan kira-kira 30 orang wakil ibu tunggal dari seluruh negeri ini.
Mortini berkata, SPR sepatutnya tidak diheret dalam isu tuntutan elaun yang berjumlah RM27.2 juta tersebut kerana ia melibatkan janji manifesto yang dibuat oleh parti dalam pakatan pembangkang sendiri.
"Hanya pihak SPR sahaja mempunyai maklumat yang Menteri Besar inginkan, sedangkan pihak SPR Selangor sendiri menyatakan mereka tiada komen dalam tuntutan bukti tersebut kerana kes tersebut telah difailkan di mahkamah.
"Sebagai Pengerusi Ibu Tunggal negeri yang mewakili suara hampir 20,000 ahli berdaftar, saya kesal kerana kerajaan negeri ternyata telah terpesong dari landasan memperjuangkan hak ibu tunggal yang hidup susah hanya kerana perbezaan politik," ujarnya.
Utusan Malaysia pada 13 Disember lalu melaporkan kenyataan Abdul Khalid yang meminta kesemua ibu tunggal yang menyaman beliau dan kerajaan negeri membuktikan mereka mengundi calon Pas, PKR dan DAP semasa PRU12 sebelum tuntutan elaun tersebut boleh dipenuhi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan