3 Disember 2012

Tolak calon ada ‘kad kuning’

KUALA LUMPUR 29 Nov. - Ahli UMNO yang mempunyai rekod tidak baik serta boleh mengundang persepsi negatif dalam kalangan rakyat tidak harus dicalonkan dalam pilihan raya umum akan datang.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali yang melabelkan golongan itu sebagai mereka yang mempunyai ‘kad kuning’ berkata, golongan itu boleh menjadi liabiliti kepada parti.
“Saya akui setiap calon pilihan raya yang diketengahkan perlulah kuat bekerja dan merendah diri, tetapi saya harap Presiden UMNO turut memberi perhatian kepada ahli yang ada ‘kad kuning’, jangan ketengahkan golongan ini.
“Calon mestilah bersih daripada sebarang kontroversi atau skandal, barulah rakyat akan sokong. Pengundi sekarang khususnya orang muda bermaklumat, mereka tahu banyak perkara," katanya ketika mengulas ucapan dasar Presiden UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ibrahim yang juga bekas ahli Majlis Tertinggi UMNO menggesa ahli-ahli parti yang hadir dalam persidangan itu supaya tidak bersemangat di dalam dewan sahaja, sebaliknya semangat itu perlu diterjemahkan kepada gerak kerja yang bersungguh-sungguh sehingga ke setiap kampung di seluruh negara.
“Tidak guna menjerit bersemangat, tunjuk kehebatan di dalam dewan sahaja. Buktikan semangat itu dengan bekerja sehingga ke peringkat akar umbi," jelasnya.
Beliau juga berterima kasih dengan ketegasan pemimpin negara menolak fahaman liberalisme dan pluralisme kerana ia selari dengan tuntutan agama Islam.

Tiada ulasan: